Sila log masuk terlebih dahulu.

[VIDEO] Prosiding bela diri Rosmah tangguh, peguam positif Covid-19

Rosmah (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi prosiding bela diri kes rasuah projek hibrid solar di Sarawak.
Rosmah (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi prosiding bela diri kes rasuah projek hibrid solar di Sarawak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding bela diri kes rasuah projek hibrid solar membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan selepas peguam isteri bekas Perdana Menteri itu dijangkiti Covid-19.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mahkamah dimaklumkan melalui surat yang diterima dari firma guaman Jagjit Singh & Co bahawa Datuk Akberdin Abdul Kader didapati positif selepas didiagnosis pada Sabtu.

Hakim Mohamed Zaini berkata, dua lagi peguam Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat selepas bertemu dengan Akberdin pada Khamis.

Susulan itu beliau berkata, dua peguam itu perlu menjalani kuarantin kendiri.

"Saya doakan Datuk Akberdin sihat dan cepat sembuh," katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon agar mahkamah memutuskan tarikh perbicaraan yang lebih singkat.

Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini menetapkan 23 Februari ini untuk sambung bicara dengan pihak pendakwaan menyoal balas saksi akhir pembelaan iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 3 Februari lalu, mahkamah menangguhkan prosiding selepas Siti Azizah tidak dapat hadir kerana menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas pulang dari menunaikan umrah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan untuk memanggil semula saksi utama yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 iaitu bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah, 71, membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

@sinarharianonline Harap prosiding kes berjalan dengan lancar #fyp #TikTokNews #BuletinTikTok #BeritaDiTikTok #RosmahMansor #Covid19 original sound - Sinar Harian