Kes rasuah: Rosmah gagal batalkan perbicaraan projek solar hibrid

Rosmah (kiri) keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini selepas mendengar rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk batalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan gugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes berkenaan. - Foto Bernama
Rosmah (kiri) keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini selepas mendengar rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk batalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan gugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes berkenaan. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Datin Seri Rosmah Mansor gagal lagi untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin.

Ia selepas tiga panel hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan sebulat suara membenarkan bantahan awal oleh pendakwa raya selaku responden.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Hakim Hanipah berkata, mahkamah bersetuju hujahan pihak responden bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pengisytiharan yang dipohon isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Beliau berkata, permohonan Rosmah mesti tertakluk di bawah bidang kuasa mengikut Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

"Setelah mempertimbangkan penghujahan dan nas-nas yang dikemukakan oleh semua pihak, mahkamah mendapati bahawa bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden adalah isu undang-undang yang mempunyai merit," katanya.

Dalam prosiding pada Isnin, responden diwakili Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala perayu diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Dalam prosiding terdahulu, Sri Ram berhujah, pelantikannya selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes rasuah yang dihadapinya.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan isteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara rayuan diputuskan.
Artikel Berkaitan:


Susulan keputusan itu, Rosmah yang akan berusia 70 tahun minggu depan memberi keterangan membela diri pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi bermula 5 Oktober dan akan bersambung pada 8 Disember.

Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lalu untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Beliau memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak pembelaan.

Rayuan itu dikemukakan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.



ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan lepas lawat anak di Singapura

Armada lapor polis gesa ekstradisi Rosmah Mansor