Enam laporan diterima kes wang dalam e-wallet lesap: Polis

(Gambar kecil: Mohd Mahidisham) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur telah menerima enam laporan berkaitan dakwaan guru sekolah menjadi mangsa sindiket penipuan Touch 'n Go eWallet. - Gambar hiasan
(Gambar kecil: Mohd Mahidisham) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur telah menerima enam laporan berkaitan dakwaan guru sekolah menjadi mangsa sindiket penipuan Touch 'n Go eWallet. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur menerima enam laporan berkaitan dakwaan guru sekolah menjadi mangsa sindiket penipuan Touch 'n Go eWallet.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada pihak Touch 'n Go untuk siasatan lanjut.

"Jika ada kesalahan jenayah, mereka (Touch 'n Go) akan buat laporan dan kita akan siasat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan hampir 50 guru di lapan sekolah sekitar Lembah Klang di sini mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan Touch 'n Go eWallet.

Mangsa, Irine, 30, berkata, dia kerugian hampir RM3,000 apabila wang dalam akaun tersebut dikeluarkan menerusi tiga transaksi kurang tujuh minit pada 19 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian disedari menerusi notifikasi transaksi tersebut sebelum mengambil keputusan memindahkan baki RM5,000 ke akaun lain bagi mengelak kerugian lebih besar.

Irine berkata, kejadian tersebut menyebabkan dia trauma untuk menggunakan perkhidmatan tersebut dan berharap syarikat perkhidmatan berkenaan bertanggungjawab membayar ganti rugi dan meningkatkan sistem keselamatan pengguna.

Seorang lagi mangsa, Tang, 57, berkata, dia hanya menyedari akaun e-wallet digodam selepas mendapati akaun di dalam bank berkurangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam DAP Wilayah, Yew Jia Haur meminta mangsa yang menjadi mangsa penipuan itu tampil dan membuat laporan polis.

Jia Haur berkata, pihaknya akan membantu mangsa untuk membuat rayuan dan merujuk kes berkenaan kepada jenayah komersial, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Bank Negara untuk mendapatkan semula wang yang dicuri itu.