Wang dalam e-wallet lesap angkara 'scammer'

Jia Haur (dua dari kiri) bersama sebahagian guru yang mengalami kerugian selepas wang dalam akaun e-wallet dikeluarkan menerusi transaksi tidak sah.
Jia Haur (dua dari kiri) bersama sebahagian guru yang mengalami kerugian selepas wang dalam akaun e-wallet dikeluarkan menerusi transaksi tidak sah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 50 guru di lapan sekolah sekitar Lembah Klang di sini mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan Touch 'n Go eWallet.

Mangsa, Irine, 30, berkata, dia kerugian hampir RM3,000 apabila wang dalam akaun tersebut dikeluarkan menerusi tiga transaksi kurang tujuh minit pada 19 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian disedari menerusi notifikasi transaksi tersebut sebelum mengambil keputusan memindahkan baki RM5,000 ke akaun lain bagi mengelak kerugian lebih besar.

"Lepas sahaja menerima notifikasi transaksi, saya ambil tindakan untuk mengosongkan akaun tersebut sebelum melaporkan transaksi tidak sah itu ke Money-back Guarantee.

"Saya tidak pasti wang tersebut dapat dipulangkan semula atau sebaliknya memandangkan transaksi tersebut menggunakan nombor pin sendiri," katanya pada sidang akhbar Biro Aduan DAP Wilayah pada Sabtu.

Irine berkata, kejadian tersebut menyebabkan dia trauma untuk menggunakan perkhidmatan tersebut dan berharap syarikat perkhidmatan berkenaan bertanggungjawab membayar ganti rugi dan meningkatkan sistem keselamatan pengguna.

Seorang lagi mangsa, Tang, 57, berkata, dia hanya menyedari akaun e-wallet digodam selepas mendapati akaun di dalam bank berkurangan.

"Saya hanya sedar menjadi mangsa sindiket tersebut lima hari selepas kejadian. Saya semak notifikasi terdapat sembilan transaksi dilakukan antara 20 Januari dan 21 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas menyedari kejadian tersebut, saya telah menukar nombor pin dan tidak lagi menyambung akaun e-wallet dengan kad debit saya.

"Saya dapati pihak 'scammer' masih cuba melakukan transaksi sehingga akaun e-wallet saya disekat kerana memasukkan nombor pin salah lebih tiga kali, " katanya yang kerugian lebih RM1,000.

Seorang lagi mangsa, Reene Hong, 37, berkata, dia kerugian RM300 selepas wang dalam akaun tersebut dipindah milik menerusi satu transaksi pada 10 Februari lalu.

"Saya masukkan RM500 ke akaun tersebut bagi tujuan pemberian angpow Tahun Baharu Cina secara tanpa tunai, tetapi wang tersebut lebur ditipu pihak 'scammer'.

"Kemungkinan data maklumat guru ini telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan ramai guru menjadi mangsa ada di antaranya kerugian hampir RM5,000 disebabkan sindiket sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam DAP Wilayah, Yew Jia Haur meminta mangsa yang menjadi mangsa penipuan itu tampil dan membuat laporan polis.

Jia Haur berkata, pihaknya akan membantu mangsa untuk membuat rayuan dan merujuk kes berkenaan kepada jenayah komersial, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Bank Negara untuk mendapatkan semula wang yang dicuri itu.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak meletakkan nombor kad pengenalan atau tarikh lahir sebagai nombor pin yang memudahkan akaun bank digodam.

"Kejadian juga mungkin ada kaitan dengan kebocoran maklumat dan data melibatkan guru-guru sekolah terlibat.

"Saya mohon supaya syarikat perkhidmatan e-wallet naik taraf sistem keselamatan, kelemahan tersebut menyebabkan ramai yang menjadi mangsa.

"Sebelum ini, mungkin ada beberapa kes sama berlaku, namun jumlahnya tidak seramai kes terbaharu ini melibatkan mangsa berkelompok dari beberapa sekolah terlibat," katanya.