'Anak saya dipijak, ditendang, dicekik'

HULU SELANGOR – “Suspek bukan sekadar tarik, dia pijak, sepak dan cekik anak saya.”
Itulah detik ngeri yang masih menghantui seorang bapa selepas anak perempuannya yang berusia sembilan tahun diserang secara kejam oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, mangsa bersama abang dan kakaknya sedang berjalan kaki menuju ke pasar malam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka, selepas mendapat keizinan daripada bapa.
Namun, sebaik melalui hadapan sebuah rumah, tiba-tiba seorang lelaki mengejar mereka sebelum menarik mangsa dan menyeretnya masuk ke dalam rumah.
“Abangnya cuba mengejar untuk menyelamatkan adiknya, tetapi suspek bertindak ganas,” kata bapa mangsa.
Menurutnya, suspek memijak, menyepak dan menendang anaknya berkali-kali sebelum mencekiknya.
Akibat perbuatan kejam itu, mangsa mengalami luka koyak di dagu yang terpaksa dijahit enam jahitan, selain kesan lebam di bahagian leher.
“Mujur ada jiran yang menyedari kejadian itu dan menyelamatkan anak saya. Kalau lambat sedikit, saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya.
Bapa mangsa berkata, dia hanya mengetahui insiden itu selepas seorang individu menghantar anaknya pulang ke rumah sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.
“Bila sampai, saya nampak orang ramai sudah menahan suspek. Saya langsung tidak mengenali dia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin mengesahkan suspek berusia 23 tahun merupakan seorang penganggur dan didapati positif dadah.
Suspek kini direman selama empat hari hingga 2 Februari bagi membantu siasatan mengikut:
Ringkasan AI
- Mujur jiran menyelamatkan anak perempuan yang diserang oleh lelaki tidak dikenali semasa menuju ke pasar malam
- Mangsa ditarik masuk ke dalam rumah suspek ketika berjalan bersama dua beradiknya
- Suspek bertindak ganas, memijak dan menendang mangsa hingga mengalami kecederaan serius termasuk luka yang memerlukan jahitan
- Suspek, seorang lelaki berusia 23 tahun dan penganggur, didapati positif dadah
- Polis telah menahan suspek dan menyiasat kes ini sebagai percubaan pembunuhan dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
