Kos hidup orang bujang meningkat di Lembah Klang

Majlis Pelancaran Panduan BelanjawanKu 2022/2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Majlis Pelancaran Panduan BelanjawanKu 2022/2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Selasa. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SUNGAI BULOH - Anggaran belanjawan bulanan golongan bujang yang menetap di Lembah Klang pada 2022 meningkat 3.21 peratus atau RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 pada 2019.

Berdasarkan buku panduan BelanjawanKu 2022/2023, anggaran tersebut diguna pakai bagi golongan itu yang menggunakan pengangkutan awam.

Menurut panduan tersebut, individu bujang yang menggunakan pengangkutan awam dan tinggal di Lembah Klang memerlukan RM1,930 bagi menampung perbelanjaan harian termasuk makanan berjumlah RM610, sewa bilik RM370 dan pengangkutan RM140.

Bagi mereka yang memiliki kenderaan sendiri, anggaran belanjawan bulanan dianggarkan turut bertambah daripada RM2,490 kepada RM2,600 dengan anggaran perbelanjaan bulanan kenderaan sebanyak RM760.

Selain itu turut meningkat adalah perbelanjaan bagi suami isteri tanpa anak iaitu daripada RM4,420 kepada RM4,630 dan pasangan dengan dua anak kepada RM6,890 sebulan berbanding RM6,620 pada 2019.

Lembah Klang merupaan bandar yang merekodkan kos hidup paling tinggi di diikuti Georgetown, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor.

Panduan dan aplikasi BelanjawanKu adalah terbitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Keseiahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya yang merupakan sebahagian daripada program celik kewangan.

Penyelidikan ini melibatkan soal selidik dan perbincangan kumpulan fokus yang terdiri daripada penyelidik daripada universiti tempatan, wakil daripada KWSP, Agensi Kaunseling dan Pengurusan dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Perancang Ekonomi, Majlis Perundingan Gaji Negara, agensi-agensi bukan kerajaan, Bank Negara Malaysia, dan pakar industri.