Bapa kongsi detik anak 'ditarik' suspek

HULU SELANGOR - "Mujur ada jiran yang menyedari kejadian itu dan menyelamatkan anak saya. Kalau lambat sedikit, saya tidak tahu apa yang akan terjadi,".
Demikian perkongsian bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang diserang seorang lelaki tidak dikenali semasa melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, mangsa yang berjalan bersama dua beradiknya dikatakan dikejar sebelum ditarik masuk ke dalam rumah oleh suspek.
Bapa mangsa berkata, ketika itu mangsa bersama dua beradik sedang berjalan ke pasar malam berhampiran selepas mendapat keizinan daripadanya.
"Anak saya tiga beradik berjalan kaki ke pasar malam terletak kira-kira 500 meter dari rumah.
"Ketika melalui hadapan rumah suspek, lelaki itu secara tiba-tiba mengejar mereka sebelum menarik seorang anak perempuan saya dan menyeretnya masuk ke dalam rumahnya," katanya.

Tambahnya, abang mangsa berusia 12 tahun yang bersama ketika kejadian segera mengejar untuk menyelamatkan adiknya, namun suspek bertindak ganas.
Katanya, difahamkan, suspek memijak, menyepak dan menendang anak saya berkali-kali sebelum mencekiknya.
"Dia mengalami kecederaan termasuk luka koyak yang terpaksa dijahit sebanyak enam jahitan pada bahagian dagu, selain kesan lebam pada leher," ujarnya.
Jelasnya lagi, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas seorang individu menghantar anaknya pulang ke rumah sebelum bergegas ke lokasi.
"Bila sampai nampak orang ramai sudah menahan suspek. Saya tidak mengenali suspek," ujarnya.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, suspek berusia 23 tahun merupakan penganggur dan didapati positif dadah.
Kata Ibrahim, suspek telah direman empat hari hingga 2 Februari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Polis memandang berat kejadian itu dan percaya dengan tertangkapnya suspek telah berjaya menyelesaikan kes terbabit sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap polis," ujarnya.
Ringkasan AI
- Mujur jiran menyelamatkan anak perempuan yang diserang oleh lelaki tidak dikenali semasa menuju ke pasar malam
- Mangsa ditarik masuk ke dalam rumah suspek ketika berjalan bersama dua beradiknya
- Suspek bertindak ganas, memijak dan menendang mangsa hingga mengalami kecederaan serius termasuk luka yang memerlukan jahitan
- Suspek, seorang lelaki berusia 23 tahun dan penganggur, didapati positif dadah
- Polis telah menahan suspek dan menyiasat kes ini sebagai percubaan pembunuhan dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
