Hampir tiga juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir tiga juta rakyat Malaysia sudah dijangkiti Covid-19 dengan kes aktif penyakit ini setakat semalam (10 Februari 2022) sudah melepasi 100,000.

Malaysia terus dibadai kes harian baharu lima angka Covid-19 lima hari berturut-turut dengan catatan tertinggi pada Khamis, iaitu 19,090 kes, yang turut melonjakkan kumulatif kes Covid-19 negara menghampiri tiga juta kes iaitu 2,975,422.

Kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah direkod di Malaysia ialah sebanyak 24,599 kes pada 26 Ogos 2021.

Setakat jam 11:59 malam 10 Februari 2022, data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 107,883 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Malaysia mula bergelut dengan kes harian baharu lima angka apabila sebanyak 10,089 kes dilaporkan pada Ahad 6 Februari. Kali terakhir Malaysia merekod angka kes harian baharu melebihi 10 ribu pada 13 Julai 2021, iaitu sebanyak 11,079 kes.

Kemuncak kes

Lonjakan kes positif Covid-19 dalam negara dijangka mencapai kemuncak pada penghujung Mac 2020, seperti kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

”Gelombang Omicron akhirnya secara rasmi membadai Malaysia dan dijangka memuncak penghujung Mac ini.”

Artikel Berkaitan:

Beliau membuat kenyataan itu apabila kes harian baharu negara melepasi angka 10,000 pada 6 Februari (10,089).

Beberapa buah negara Persatuan Negara-Negara AsiaTenggara (ASEAN) turut merekod kes harian baharu lima, berdasarkan data terkini Wordometer awal pagi ini iaitu Indonesia (40,618), Thailand (14,822), Vietnam (26,032) dan Singapura (10,686).

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Selasa lalu turut memberi amaran tentang ancaman subvarian Omicron iaitu BA.2 yang semakin menular di England dan Denmark selain India dan Afrika Selatan. Varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada penghujung November 2021 dan menjadi punca jangkitan kes yang banyak di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Sesetengah pakar berpendapat subvarian itu berkemungkinan besar mengatasi Omicron untuk menjadi dominan seperti berlaku kepada varian Delta (mula dikesan di India) apabila Omicron mengambil tempatnya sebagai varian ganas Covid-19.

Menurut data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga jam 11:59malam 10 Februari, daripada 107,883 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, sebanyak 96,655 kes (89.6 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 5,751 kes (5.3 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 5,319 kes (4.9 peratus) di hospital; 80 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 78 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Dengan kes kumulatif sebanyak 2,975,422 kes, Malaysia kini di tangga 28 daripada 225 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Portugal (3,025,421) dan Kanada (3,167,844).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamid, daripada 19,090 kes harian baharu, hanya 113 kes (0.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 18,977 kes (99.4 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 5,712 kes sembuh pesakit Covid-19 dilaporkan pada Khamis, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,835,464 (95.3 peratus).

Sementara itu, sebanyak 86 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat 10 Februari dan hanya 35 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh Rangkuman ini melepasi paras 1.00 dengan WP Labuan (2.17), Sarawak (1.90) dan Sabah (1.68) mencatatkan Ro/Rt tertinggi pada 10 Februari 2022.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sementara itu, jumlah kluster aktif dalam negara kembali meningkat dan setakat Khamis 10 Februari 2022, jumlah yang direkodkan KKM sebanyak 395. Secara keseluruhan, sebanyak 6,555 kluster dikesan dan 6,160 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (5 Februari hingga 10 Februari 2022), berdasarkan data KKM, sebanyak 77 kluster baharu direkod.

Kluster terbanyak adalah pendidikan 43 kluster (55.8 peratus), tempat kerja 20 (26.0 peratus), kumpulan berisiko tinggi 10 (13.0 peratus) dan komuniti 4 (5.1 peratus). - Bernama