Covid-19: 12 kes subvarian XBB.1.16 dilaporkan di Malaysia

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 12 kes Covid-19 subvarian XBB.1.16 atau Arcturus telah dilaporkan di Malaysia dan kesemuanya bergejala ringan dan stabil.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah kes itu, sebanyak enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya subvarian di bawah famili varian Omicron ini terbentuk hasil gabungan atau rekombinan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dan sehingga 2 April lepas, ia telah dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskannya sebagai Variant of Interest (VOI) sejak 17 April 2023. Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah mengenal pasti varian XBB.1.16 ini sejak Mac 2023, keadaan jangkitan Covid-19 masih lagi terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.

Beliau berkata, penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 adalah lebih rendah dari subvarian XBB.1.5 dan varian atau subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini.

Mengenai situasi Covid-19 dalam negara, Dr Zaliha berkata, kes terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah turun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.

Beliau berkata, varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular dan sehingga kini sebanyak 70.97 peratus (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti, dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan VOI jenis varian Omicron dan subvariannya.

Justeru, Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) bagi yang bergejala dan bagi individu yang disahkan positif COVID-19, perlu melakukan pengasingan kendiri dengan segera untuk tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya KKM juga akan terus memantau situasi dan varian atau subvarian Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan selamat. - Bernama