Buka sempadan dapat manfaatkan Sarawak

Amar Awang Tengah (dua dari kiri) merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka menandatangani 'Strategy Map Balanced Scorecard Pusaka' sempena pelancaran Hari Integriti dan Inovasi serta Perhimpunan Perdana 2022 perbadanan itu pada Rabu. - Foto Bernama
Amar Awang Tengah (dua dari kiri) merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka menandatangani 'Strategy Map Balanced Scorecard Pusaka' sempena pelancaran Hari Integriti dan Inovasi serta Perhimpunan Perdana 2022 perbadanan itu pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak mengalu-alukan cadangan pembukaan semula sempadan negara yang dilihat mampu memanfaatkan serta merancakkan kembali sektor ekonomi negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bagaimanapun beliau berkata, untuk negeri Sarawak, keputusan pembukaan semula sempadan terletak di bawah kuasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Menurutnya, pembukaan sempadan pasti akan melegakan banyak pihak, tetapi ia juga harus mengambil kira semua faktor termasuk keselamatan.

"Kita perlu melihat aspek penularan Covid-19, jika diputuskan demikian (sempadan dibuka) prosedur operasi standard (SOP) kena dipatuhi. Kita mengalu-alukan sempadan dibuka tetapi kita juga harus berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Inovasi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syor itu penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan serta sebagai usaha menarik pelabur asing ke negara ini.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Negeri berkata, jumlah nilai eksport produk perkayuan bagi Sarawak pada tahun lepas adalah RM3.9 bilion iaitu meningkat 4 peratus atau RM0.15 bilion berbanding RM3.7 bilion pada 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: