Kerajaan Selangor nafi aktiviti pengorekan pasir punca banjir

Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara kepada salah seorang penerima, pada Selasa.
Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara kepada salah seorang penerima, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan aktiviti pengorekan pasir, khususnya di kawasan Bestari Jaya menjadi antara punca menyebabkan banjir luar biasa berlaku di Selangor, pada Disember lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau bagaimanapun akan mendapatkan maklumat lengkap daripada pihak yang mempunyai kepakaran berhubung dakwaan itu .

"Saya kena dapatkan maklumat daripada jurutera dan teknikal antaranya, apa yang disebut itu (aktiviti pengorekan pasir) ada kaitan dengan kawasan di sekitar UniSel (Universiti Selangor).

"Kawasan itu adalah usaha kita untuk buat 'retention ponds', untuk elakkan daripada kejadian banjir, jadi pasir dikorek untuk mendalamkan kawasan kenapa pula nak jadi penyebab banjir," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Pada Ahad lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata, pihaknya ada menyuarakan kebimbangan penduduk di kawasan itu mengenai aktiviti pengorekan pasir dilihat semakin rancak kebelakangan ini.

Beliau sehubungan itu meminta kerajaan Selangor untuk mengkaji semula aktiviti korek pasir di negeri ini, khususnya di kawasan Bestari Jaya yang dikatakan menjadi punca kejadian banjir besar Disember lalu.

Katanya, pada Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Selangor dua minggu lalu yang turut dihadiri Amirudin, pihaknya telah meminta supaya kerajaan negeri bersama kerajaan Pusat membuat kajian bagi mengenal pasti punca banjir buruk itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau akan memberikan perhatian mengenai pandangan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan daripada semua pihak terbabit.

"Tidak mengapa saya ambil pandangan itu dahulu, saya hendak tengok betulkah ia menjadi punca banjir. Kalau betul kita akan ambil tindakan susulan dan jika tidak kita akan teruskan.

"Ini sebab, ia adalah usaha untuk kita laksanakan kolam-kolam takungan untuk 'retention ponds' dan juga untuk membersihkan kawasan sekitar yang terbiar sejak sekian lama," katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan, semua projek berkenaan diurusdan dibuat secara teratur oleh pihak terbabit serta tiada unsur-unsur ceroboh atau sebagainya.

Namun, katanya, jika didapati terdapat sebarang projek yang tidak mendapat kebenaran atau mempunyai permit dijalankan di kawasan berkenaan, ia akan dihentikan dengan serta merta.

"Itu kita akan semak semua tapi apa yang pastinya saya dapat maklumat semasa saya ke sana UniSel sebut di kawasan sekitar itu adalah untuk 'retention ponds' sebab ada beberapa lokaliti digenangi air dan ia boleh menjadi kolam sementara.

"Jadi kita tengoklah sama ada ia memberi kesan atau pun tidak dan laporan jurusan teknikalnya kena dibuat," katanya.