Banjir terburuk di Selangor dalam tempoh tujuh tahun

Beberapa kawasan di negeri ini ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan sejak Jumaat.
Beberapa kawasan di negeri ini ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan sejak Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Banjir yang melanda Selangor ketika ini dianggap antara terburuk berlaku dalam tempoh tujuh tahun ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, hujan berterusan selama lebih 24 jam mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurut beliau, pada ketika ini seramai 3,086 mangsa banjir sudah dipindahkan ke 30 PPS di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"Saya kira ini antara banjir terburuk melanda Selangor yang menyebabkan ramai mangsa dipindahkan ke PPS," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Norazam berkata, jumlah mangsa banjir dan PPS dibuka dijangka bertambah dengan beberapa kawasan lain turut mengalami keadaan sama.

"Kami turut menerima panggilan banjir di Shah Alam antaranya di Taman Seri Muda, Kampung Kebun Bunga Seksyen 22, Jalan Ikano Harian 2, Kampung Bukit Lanchong.

"Selain itu, Jalan Batu Bata Bukit Kemuning, Jalan Mat Rahim Seksyen 17 dan Jalan Snuker 13/28 Seksyen 13," katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 20 PPS dibuka di Klang yang menempatkan seramai 2,604 mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 10 PPS lagi dibuka di Sepang dan Kuala Langat membabitkan 482 mangsa," ujarnya.

Hujan berterusan meningkatkan risiko banjir di daerah di negeri ini antaranya di Petaling, Klang, Sepang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.