Sambutan PN di Johor luar biasa bos! - Sanusi

SANUSI
SANUSI
A
A
A

ALOR SETAR - Sambutan rakyat Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) disifatkan luar biasa dan di luar jangkaan apabila beberapa siri ceramah yang diadakan di negeri itu menunjukkan kehadiran ramai.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gelombang PN yang melanda negara kini tidak berupaya disekat dan turut mara ke negeri selatan termasuk Johor.

Menurutnya, berdasarkan beberapa petanda, PN yakin bakal mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Sambutan di luar dugaan. Luar biasa bos!

“Kalau di Johor banyak itu yang hadir (beri sokongan kepada PN) ada harapan besar (untuk menang), khususnya di Simpang Jeram,” katanya selepas merasmikan Karnival Amal Hari Penyayang di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menteri Besar Kedah itu yakin mana-mana parti yang mengadakan pakatan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tewas dalam PRK kali ini.

“Gelombang PN melanda Johor masuk ikut Muar dan terus mara ke DUN Simpang Jeram terlebih dahulu dan mara lagi sebab gelombang itu tak boleh disekat dah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut menyangkal kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan gelombang PN yang dikatakan bakal melanda Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ibarat bermimpi di siang hari kerana gabungan itu tiada kekuatan di Johor.

Beliau dilaporkan berkata, kekuatan PN hanya berkisar di bahagian Utara, iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parlimen Mersing.

“Tak (mimpi siang), kami mimpi malam-malam, ini kenyataan dan (yakin) boleh menang,” katanya.

Muhammad Sanusi mendakwa, Johor kini bukan lagi merupakan kubu kuat UMNO dan boleh ditembusi parti lain.

“Sekarang tak lagi (kubu kuat UMNO). Semua boleh berubah. Contohnya, Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun yang kuat pun terbalik. Di China, parti komunis selama 70 tahun pun terbalik, semua parti itu kuat namun terbalik.

“Sudah sampai masa UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PH akan terbalik disebabkan oleh gelombang PN,” jelasnya.

Muhammad Sanusi (dua, kanan) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (dua, kiri) selepas majlis perasmian Karnival Amal Hari Penyayang di pekarangan Stadium Darul Aman.
Muhammad Sanusi (dua, kanan) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (dua, kiri) selepas majlis perasmian Karnival Amal Hari Penyayang di pekarangan Stadium Darul Aman.

Menurutnya lagi, tidak mustahil lama-kelamaan UMNO akan berkubur.

“Johor bukan lagi kubu kuat UMNO. Di sana (Johor) dilahirkan (UMNO), di sana lah kuburnya,” katanya secara berkias.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai turut mendakwa cakap Sanusi tidak laku di Johor kerana rakyat negeri itu bersikap sederhana dan tidak ekstrem dalam isu agama dan kaum dibawakan PN.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Di Johor cakap Sanusi tidak laku' - Nur Jazlan

Muhammad Sanusi sebaliknya, menyifatkan Timbalan Speaker Dewan Negara itu yang tidak laku jika dibandingkan dengan dirinya.

“Jazlan yang tak laku dah, bertanding tak boleh, lawan pun kalah. Bertanding tak dapat, dia yang tak laku, mengerang merata. Banding dia dengan saya, saya lebih lakulah,” katanya.

Sabtu lalu, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat diumum sebagai calon PH di Parlimen Pulai, sementara Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman sebagai calon DUN Simpang Jeram.

PN pula mencalonkan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar sebagai calon Parlimen Pulai pada 9 September nanti, selain pakar bedah endovaskular, Dr Mohd Mazri Yahya diumumkan calon di DUN Simpang Jeram.