Turki mahu bantu Malaysia lahirkan ramai jurutera pertahanan

Kotil bercakap kepada delegasi media Malaysia di Ibh Pejabat TAI di Ankara, Turki.
Kotil bercakap kepada delegasi media Malaysia di Ibh Pejabat TAI di Ankara, Turki.
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Malaysia bakal memiliki ramai jurutera muda mahir dalam industri pertahanan termasuk pembuatan jet pejuang apabila syarikat pertahanan Turki, Turkish Aerospace menawarkan perkongsian kepakaran itu.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Profesor Temel Kotil berkata, melalui kerjasama dengan sebuah syarikat di Malaysia, pihaknya menyasarkan pelajar lepasan universiti tempatan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, setakat ini sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia terpilih untuk menjalani kursus kejuruteraan itu di Turki bagi tempoh dua bulan bermula April depan dan jumlah tersebut dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Kami memerlukan individu intelektual dan muda yang mampu membangunkan sistem canggih. Kita perlu ingat bahawa sesiapa sahaja boleh mempelajari perkara berkaitan teknologi kerana dunia sudah berubah.

“Tetapi teknologi bukan hanya sekadar teori. Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan pendidikan dan ada banyak universiti yang terbaik dalam bidang kejuruteraan.

"Kami mahu berkongsi kepakaran agar ada ramai jurutera muda di Malaysia kerana kami berjaya melakukan di sini dan di negara lain seperti Pakistan," katanya dalam taklimat pengoperasian kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat Turkish Aerospace di sini.

Turkish Aerospace merupakan syarikat di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Turki yang kini dalam proses tender bagi membekalkan pesawat tempur ringan, Hurjet kepada Malaysia dengan menawarkan pemasangan 15 unit pesawat itu di Malaysia manakala tiga lagi di Turki.

Sebelum ini, Turkish Aerospace memilih Malaysia sebagai pangkalan baharu di rantau Asia Tenggara dengan secara rasmi membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk di Cyberjaya pada 24 November lalu yang dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

Turkish Aerospace akan menjalankan kajian bersama dalam pelbagai bidang termasuk pesawat tanpa pemandu, jurulatih jet, pesawat tempur ringan, helikopter dan program pemodenan untuk ekosistem penerbangan global.

Dalam lawatan ke kilang syarikat berkenaan di Ankara, Turki membabitkan kawasan seluas satu juta meter persegi, delegasi media Malaysia dibawa bagi menyaksikan sendiri proses pembuatan aset pertahanan itu termasuk satelit.