Jet tempur Israel serang kedudukan pejuang Palestin di Gaza

Jet tempur Israel melancarkan peluru berpandu ke arah kedudukan kumpulan bersenjata di Gaza City dan kawasan tengah Semenanjung Gaza. - Gambar fail/ Reuters
Jet tempur Israel melancarkan peluru berpandu ke arah kedudukan kumpulan bersenjata di Gaza City dan kawasan tengah Semenanjung Gaza. - Gambar fail/ Reuters
A
A
A

GAZA - Jet tempur Israel pada Selasa melancarkan serangan udara menyasarkan kedudukan kumpulan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung.

Menurut saksi dan wartawan Agensi Anadolu, jet tempur Israel melancarkan peluru berpandu ke arah kedudukan kumpulan bersenjata di Gaza City dan kawasan tengah Semenanjung Gaza.

Serangan itu menyebabkan letupan kuat berlaku di sebahagian besar Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin tidak memberikan sebarang maklumat sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa.

Kumpulan pejuang Palestin di Gaza dan Israel berbalas tembakan pada Selasa sejurus kematian seorang tahanan Palestin di penjara Israel akibat mogok lapar.

Khader Adnan meninggal dunia pada Selasa selepas melancarkan mogok lapar selama 86 hari.

Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) berkata Adnan, seorang anggota kumpulan Jihad Islam ditemukan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital namun usaha menyelamatkannya gagal.

Kematiannya mencetuskan kecaman dan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyifatkannya sebagai "pembunuhan yang disengajakan".

Lelaki berusia 44 tahun itu, dari pekan Arraba, barat Jenin, memulakan mogok laparnya pada 5 Februari untuk membantah penahanannya oleh pihak berkuasa Israel.

Adnan berulang kali ditahan oleh tentera rejim dan melancarkan beberapa mogok lapar untuk membantah penahanannya.

Pada 2012, Adnan melancarkan mogok lapar selama 66 hari, memaksa pihak berkuasa Israel membebaskannya. Dia melancarkan mogok lapar sama pada 2015 dan 2018.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa menggesa Israel menghentikan langkah unilateral yang boleh meningkatkan lagi ketegangan dan mengancam penyelesaian dua negara berikutan keganasan terbaharu di wilayah Palestin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh EU selepas pertemuan secara bersemuka pertama antara ketua dasar luar EU Josep Borrell dan Menteri Luar Israel Eli Cohen di Brussels, ia berkata komitmen terhadap penyelesaian dua negara ditegaskan semula selain mengulangi kepentingan menghormati status quo tanah suci.

"EU dan negara anggotanya kekal komited dengan penyelesaian dua negara dan HR/VP mengingatkan kesediaan Eropah untuk menyumbang kepada proses damai," katanya, merujuk kepada Borrell, yang merupakan Wakil Tertinggi EU dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah. - Bernama