SOP gerai tepi jalan pun lebih tegas

Kadar kepatuhan SOP rakyat, di samping penguatkuasaan yang tidak memilih bulu memang wajib diamalkan ketika wabak Covid-19 di negara ini masih belum reda.
Kadar kepatuhan SOP rakyat, di samping penguatkuasaan yang tidak memilih bulu memang wajib diamalkan ketika wabak Covid-19 di negara ini masih belum reda.
A
A
A

TERINGAT kisah gerai kuih tepi jalan di Labuan yang penulis kunjungi pada minggu lepas. Walaupun hanya sekadar menjual sarapan pagi, tapi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang diambil peniaganya harus diberi pujian.

Tidak ada seorang pelanggan pun terlepas. Beratur harus satu meter tepat. Hanya lima pelanggan dibenarkan untuk memilih makanan dalam satu-satu masa. Tidak boleh kompromi langsung.

Walaupun cuma gerai di tepi jalan, ada petugas yang menjaga kod respon pantas (kod QR) dalam memastikan pelanggan patuh SOP ditetapkan. Jika alasan internet perlahan atau kod QR tidak boleh diimbas, jangan harap boleh lepas. Petugas akan minta pelanggan menunjukkan sijil vaksinasi. Kalau tak ada, usahkan nasi lemak, karipap sebiji pun tak akan dapat dibawa pulang.

Bagaimanapun, ketegasan itu tidak menjadi masalah kepada pelanggan, malah penulis sendiri pun tidak berganjak walaupun terpaksa beratur lebih 30 minit.

Dalam situasi lain, penulis pernah tidak dibenarkan masuk ke sebuah premis perniagaan gara-gara kod QR tidak boleh diimbas walaupun beberapa kali mencuba. Ingatkan pengawal akan menggunakan budi bicara membenarkan penulis masuk, namun sangkaan itu meleset.

“Maaf puan, kami hanya menjalankan tugas dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengekang Covid-19 daripada terus menular,” kata pengawal keselamatan dengan berhemah.

Bagi penulis, tindakan pengawal keselamatan itu betul. Kadar kepatuhan SOP rakyat, di samping penguatkuasaan yang tidak memilih bulu memang wajib diamalkan ketika wabak Covid-19 di negara ini masih belum reda.

Apabila kes harian Covid-19 negara melonjak kepada 11,034 kes pada Isnin, sekali gus mencatatkan kes harian tertinggi dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan bermula Oktober lalu, episod pandemik ini nampaknya semacam tidak nampak penghujungnya dalam masa terdekat ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, suara nakal di media-media sosial kononnya ‘skrip lama' berulang supaya orang ramai tidak pulang ke kampung merayakan Aidilfitri pada bulan Mei depan sudah mula kedengaran.

Tetapi dalam tak sedar amalan norma baharu rakyat Malaysia juga seakan pudar apabila amalan SOP semakin diambil ringan.

Ditambah pula pada permulaan tahun 2022, kita dapat melihat banyak kelonggaran diberikan termasuk pembukaan semula sekolah, sektor ekonomi, pelancongan, pekerjaan dan sebagainya. Lebih merisaukan apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes harian Covid-19 dijangka mampu melonjak sehingga angka 15,000 dalam masa terdekat. Satu jumlah yang membimbangkan.

Menurut Khairy, situasi itu boleh dihadapi oleh negara berikutan jumlah warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak masih tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan sama sekiranya kadar R-Naught kekal kepada 1.2.

Dr Noor Hisham berkata, situasi itu secara tidak langsung akan membawa kepada unjuran kes harian sebanyak 22,000 menjelang hujung Mac ini. Tidak mustahil SOP diperketatkan semula andai unjuran kes terus menunjukkan peningkatan.

Tambahan kluster pendidikan dikatakan terus mendominasi penularan Covid-19 di negara ini daripada 106 kluster yang dikesan bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) keempat yang bermula 23 sehingga 29 Januari lalu, sebanyak 81 atau 76.4 peratus adalah kluster pendidikan.

Sehinggakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan untuk kembali ke asrama. Mereka sebaliknya perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Bagi penulis, rakyat perlu sentiasa diingatkan mengenai peranan mereka dalam soal pematuhan SOP tanpa perlu bergantung kepada langkah penguatkuasaan semata-mata. Dengan hanya patuh kepada SOP, kita mampu kekang wabak ini dari terus mengganas.

Walaupun sekarang mungkin kita boleh bergembira merentas negeri untuk balik kampung, tapi lebih seronok jika dapat pulang ke kampung untuk sambut raya nanti.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Harian