GIACC jadi sebahagian SPRM pada April lepas

Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya
Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah menjadi sebahagian daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa pada 18 April lepas.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sehubungan itu ia dinamakan semula sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional dan mengambil alih peranan memantau pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang sebelum ini dijalankan oleh GIACC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember lepas memaklumkan kabinet akan meneliti cadangan untuk membubarkan GIACC kerana dilihat berlaku pertindihan tugas.

Anwar dilapor berkata, peranan GIACC boleh dijalankan oleh SPRM atau Polis Diraja Malaysia maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.

Dalam kenyataan yang sama, SPRM memaklumkan pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam NACP menunjukkan kemajuan walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Sehingga 31 Disember lepas daripada keseluruhan 111 inisiatif NACP yang dipantau, sebanyak 62 inisiatif telah selesai pelaksanaan iaitu bersamaan 55 peratus. Ini menjadikan baki 49 inisiatif yang masih dipantau.

"Sebanyak 39 inisiatif dijangka dapat menepati masa dan diselesaikan sebelum penghujung Disember tahun ini, manakala 10 inisiatif didapati berkemungkinan melewati tahun ini disebabkan kompleksiti pelaksanaan yang melibatkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan perundangan semasa serta pewujudan perundangan baharu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM optimis serta komited untuk menyelesaikan baki inisiatif NACP yang belum dilaksanakan.

"Komitmen semua pihak dalam menjayakan usaha murni melalui pelaksanaan NACP merupakan suatu manifestasi terhadap kesungguhan menuju sebuah negara bebas rasuah yang memartabatkan integriti serta kebertanggungjawaban berpaksikan ekosistem governans yang baik,” menurut kenyataan itu. - Bernama