Keharmonian kaum jelas terpancar

Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Tengku Hassanal (empat kiri), Hock San (empat kanan) dan tetamu kenamaan lain menggaul yee sang pada Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina anjuran LBS.
Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Tengku Hassanal (empat kiri), Hock San (empat kanan) dan tetamu kenamaan lain menggaul yee sang pada Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina anjuran LBS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyatuan dan keharmonian kaum jelas terpancar pada Majlis Makan Malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran syarikat pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu di Hotel Majestic, di sini, pada malam Sabtu turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, kesudian Yang di-Pertuan Agong untuk hadir itu merupakan pengiktirafan tertinggi bagi LBS.

“Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sangat berbeza, di mana kita menyambutnya dalam keadaan norma baharu dan bagi keluarga Lim, ini merupakan kali pertama ianya disambut tanpa pengasas dan bapa tercinta kami, mendiang Datuk Seri Lim Bock Seng.

"Kehadiran Yang di-Pertuan Agong di majlis makan malam ini merupakan satu penghormatan.

Al-Sultan Abdullah menyempurnakan gimik memukul gendang sempena Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina anjuran LBS.
Al-Sultan Abdullah menyempurnakan gimik memukul gendang sempena Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina anjuran LBS.

Saya percaya Seri Paduka Baginda telah membentuk sebuah negara yang harmoni dengan perpaduan budaya yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Acara di majlis tersebut dimulakan dengan penuh tradisional yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina iaitu persembahan gendang dan tarian singa.

Majlis tahun ini turut dihadiri seramai hampir 250 tetamu dengan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat (SOP).

Hock San menambah, sambutan perayaan itu juga memberikan sebuah permulaan yang baik dengan nuansa kemewahan kepada LBS di tahun harimau.

LBS diasaskan sebagai perniagaan keluarga sekitar 1960-an dan diambil daripada pangkal nama bapa Hock San dan pada tahun 1992, perniagaan LBS beralih daripada sebuah syarikat pembinaan menjadi pemaju perbandaran terkenal di peringkat antarabangsa.

Kata beliau, sehingga hari ini, LBS telah membina 40,000 rumah untuk didiami sejajar dengan harapan LBS bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mampu untuk memiliki rumah impian mereka.

"Ketika ini, kerajaan negeri Selangor dan LBS sedang bekerjasama membina rumah mampu milik yang dikenali sebagai Rumah Idaman. LBS akan membina sebanyak 7,210 unit rumah di enam buah lokasi strategik di negeri Selangor, menawarkan sebuah rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi perabot dengan harga serendah RM250,000.

"Selain itu, kita turut menubuhkan Yayasan LBS bagi membantu kumpulan masyarakat yang memerlukan.

Yayasan LBS telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.3 juta ketika krisis pandemik Covid-19 dan sumbangan hampir RM400,000 untuk membantu mangsa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini," ujarnya.