Kerajaan dicadang selaras kenaikan tarif bukan komersial

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan dicadang melakukan penyelarasan ke atas kenaikan tarif bukan komersial 15 peratus yang akan dilaksanakan minggu depan kepada kenaikan berperingkat iaitu sebanyak lima peratus setiap enam bulan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenaikan kadar lima peratus secara berperingkat memberi ruang masa kepada peniaga untuk melaksanakan pelbagai langkah penjimatan elektrik bagi menurunkan kadar penggunaannya.

“Kerajaan telah naikkan kadar tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik sebanyak 15 peratus tetapi telah kekalkan tarif bagi semua pengguna domestik.

“Namun, sebarang kenaikan bagi tarif bukan domestik iaitu komersial dan kilang akan menyebabkan kos operasi mereka meningkat dan akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa pengenaan surcaj 3.7 sen/kWj kepada semua pengguna komersial dan industri memberi tekanan kepada pemulihan syarikat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, syarikat yang terbabit dalam pembuatan terutama menggunakan tenaga elektrik yang banyak akan berdepan peningkatan kos.

Tambahnya, kos terlebih dan operasi yang tinggi akan mendorong peningkatan harga barang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan itu mencadangkan kerajaan menurunkan dan menyelesaikan segera tuntutan penalti cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas syarikat Tenaga serta mengecualikannya daripada cukai makmur dengan segera bagi menyelesaikan masalah ketidaktentuan ke atas syarikat terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan mengenakan tuntutan penalti cukai LHDN tambahan sebanyak RM5.71 bilion secara tiba-tiba.

“Tenaga sedang melawan tuntutan LHDN di mahkamah namun ia sudah menambah kepada ketidaktentuan bagi syarikat Tenaga sehingga pelabur lari dari saham ini.

“Di samping itu, cukai korporat yang dikenakan ke atas Tenaga bagi tahun 2022 telah dinaikkan dari 24 peratus ke 33 peratus,” katanya.

Najib menambah, cadangan yang dikemukakan itu juga bagi memberi ruang nafas bagi syarikat Tenaga, memberi pulangan paling besar kepada kerajaan serta tabung simpanan rakyat serta dapat membendung atau menurunkan tekanan inflasi.