Alahai, kasihan pak belang

Dianggarkan terdapat kurang 150 ekor spesies Harimau Malaya di Malaysia ketika ini. - Foto 123RF
Dianggarkan terdapat kurang 150 ekor spesies Harimau Malaya di Malaysia ketika ini. - Foto 123RF
A
A
A

EPISOD Harimau Malaya mengganas nampaknya belum berakhir. Pada 7 Januari lalu, dilaporkan seorang mangsa maut dibaham haiwan buas yang sinonim dengan jolokan pak belang itu di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along, 59, merupakan penduduk orang asli. Insiden berlaku ketika mangsa sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya kira-kira jam 9.10 pagi.

Belum sampai sebulan insiden tragis itu berlalu, berlaku pula ancaman harimau di Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kawasan rekreasi di kampung terbabit iaitu Hutan Lipur Air Terjun Menderu terpaksa ditutup buat sementara waktu kepada pengunjung. Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan ancaman pak belang yang dipercayai berkeliaran di kawasan berkenaan.

Menurut Jabatan Perhutanan Terengganu, penutupan kawasan itu berkuat kuasa bermula 1 Februari sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Berikutan situasi itu, penduduk diselubungi ketakutan kerana khuatir diserang pak belang ketika berada di luar rumah. Mata pencarian penduduk turut terjejas kerana ada antara mereka tidak keluar ke kebun sejak kira-kira tiga minggu lalu selepas berlaku serangan terhadap haiwan ternakan penduduk di kawasan itu pada awal Januari lalu.

Sebenarnya kemunculan pak belang di kawasan itu bukanlah kejadian baharu. Kira-kira enam tahun lalu, seekor harimau belang ditemui mati akibat dirempuh sebuah Hyundai Starex dalam kejadian di Kilometer 321.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kerteh.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi pada 6 Februari 2016 itu menggemparkan orang ramai sehingga tular di media sosial. Harimau terbabit dipercayai cuba melintasi lebuh raya sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan, bedah siasat mendapati harimau betina berkenaan sedang bunting dua ekor anak.

Kesemua harimau yang memunculkan diri itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Rasau yang berkeluasan 430 hektar merangkumi Kerteh, Kemaman hingga ke kawasan gugusan Felda Kerteh, Dungun.

Penerokaan haram

Pada November 2016, media mendedahkan wujud sindiket lanun rimba Hutan Simpan Rasau yang dikesan menggondolkan kawasan baharu di hutan simpan kekal terbabit.

Sindiket itu semakin agresif apabila dikatakan mengugut peneroka Felda Kerteh 5 kerana cuba melaporkan kegiatan mereka kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dikesan Jabatan Perhutanan Terengganu menggunakan Sistem Pemantauan Hutan (FMRS) yang dibangunkan menerusi teknologi satelit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, menerusi FMRS, pihaknya mengesan sindiket terbabit menggondolkan lebih dua hektar kawasan baharu di hutan simpan kekal itu.

Terbaharu, pada 22 September tahun lalu, Jabatan Perhutanan Terengganu mematahkan cubaan memindahkan 10 tual kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang dipercayai ditebang secara haram di Hutan Simpan Rasau.

Hasil hutan terbabit yang dianggarkan bernilai keseluruhan lebih RM65,000 dipercayai dicuri dari Kompartmen 14 Kerteh di hutan simpan berkenaan.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, serbuan menjumpai sebuah jentera berat iaitu jengkaut jenis Hitachi EX200 tanpa pemilik berhampiran tual-tual kayu yang disita.

Laporan-laporan itu jelas menunjukkan mengapa pak belang yang bersifat ‘pemalu' dengan manusia keluar daripada habitatnya.

Bagi manusia terutama pencinta haiwan mungkin terdetik “alahai, kasihan pak belang” apabila membaca berita demi berita hutan rakus digondolkan terutama secara haram hingga memaksa haiwan itu mencari makanan di luar habitatnya.

Sudah sampai masanya negara mengambil tindakan agresif dalam mengatasi kepupusan haiwan ini. Dianggarkan terdapat kurang 150 ekor spesies Harimau Malaya di Malaysia ketika ini.

Jangan biarkan Harimau Malaya tinggal nama sahaja pada masa depan akibat kepupusan.

* Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Sinar Harian