Gema protes tepuk tangan, mogok senyap di Myanmar

Anggota Jawatankuasa Mogok Awam Antijunta di Yangon mengadakan 'flashmob' sebelum mogok senyap bermula pada jam 10 pagi (waktu tempatan) di seluruh negara. - Foto Agensi
Anggota Jawatankuasa Mogok Awam Antijunta di Yangon mengadakan 'flashmob' sebelum mogok senyap bermula pada jam 10 pagi (waktu tempatan) di seluruh negara. - Foto Agensi
A
A
A

YANGON - Mogok senyap dan protes tepuk tangan bergema di seluruh Myanmar pada Selasa ketika ulang tahun pertama insiden rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintahan awam di negara bergolak itu.

Penunjuk perasaan antikudeta di hab komersial Yangon dan bandar Mandalay bertindak mengingkari arahan junta tentera apabila mereka mula bertepuk tangan secara beramai-ramai pada jam 4 petang (waktu tempatan) setelah mogok senyap berakhir.

Pada mulanya, pemerintah junta mengarahkan premis perniagaan kekal beroperasi, namun jalan sekitar Yangon menjadi lengang menjelang jam 10 pagi dan keadaan sama turut dilaporkan di Mandalay dan wilayah Tanintharyi.

"Saya hanya duduk di rumah sambil bermain permainan dalam talian untuk menyertai mogok senyap," kata seorang penduduk di Mandalay.

Di Yangon, kira-kira 10 penunjuk perasaan ditahan kerana menyertai protes tepuk tangan tersebut.

Difahamkan, tunjuk perasaan sama yang menyaksikan laluan utama di bandar seluruh negara lengang dan 'senyap-sunyi' pernah diadakan pada Disember lalu.

Keadaan jalan utama lengang ketika ulang tahun pertama rampasan kuasa di Myanmar. - Foto AFP
Keadaan jalan utama lengang ketika ulang tahun pertama rampasan kuasa di Myanmar. - Foto AFP

Menjelang ulang tahun pertama tersebut, junta tentera didakwa mengancam untuk merampas perniagaan yang ingkar arahan mereka dan bertindak tegas terhadap demonstrasi jalanan atau sebarang perkongsian 'propaganda' antirampasan kuasa yang boleh dikenakan tuduhan melakukan pengkhianatan atau keganasan.

Artikel Berkaitan:

Pada awal pagi, media tempatan memaparkan 'flashmob' diadakan di Yangon dan Mandalay dengan peserta protes membawa sepanduk prodemokrasi serta menyalakan suar.

Tetapi, gambar dikeluarkan pasukan maklumat junta tentera cuba untuk menunjukkan kononnya negara itu berada dalam situasi normal termasuk penganjuran acara maraton di wilayah Bago dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, demonstrasi protentera sambil mengibarkan bendera kebangsaan dan melaungkan slogan menyokong pemerintah junta juga diadakan di beberapa lokasi.

Penduduk kekal berada di dalam rumah masing-masing sambil menyertai protes tepuk tangan di seluruh kawasan kejiranan di Yangon dan Mandalay. - Foto: Agensi
Penduduk kekal berada di dalam rumah masing-masing sambil menyertai protes tepuk tangan di seluruh kawasan kejiranan di Yangon dan Mandalay. - Foto: Agensi

AS, Britain, Kanada umum sekatan

Pada Isnin, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada mengumumkan sekatan yang diselaraskan ke atas pegawai kanan Myanmar termasuk mereka yang terlibat dalam perbicaraan Penasihat Negara digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Senarai sekatan diumumkan Washington menyaksikan Peguam Negara, Thida Oo; Ketua Hakim Mahkamah Agung, Tun Tun Oo dan Pengerusi Suruhanjaya Antirasuah, Tin Oo dikenakan tindakan tegas tersebut kerana didakwa terlibat dalam pendakwaan 'bermotifkan politik' ke atas penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu.

"Kami berkoordinasi dengan London dan Ottawa untuk menzahirkan sokongan padu komuniti antarabangsa terhadap penduduk Myanmar dan mempromosikan akauntabiliti terhadap pihak bertanggungjawab melakukan rampasan kuasa dan tindakan keganasan melampau," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Menurutnya, AS akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa mereka untuk menangani pelanggaran hak asasi manusia, menggesa junta tentera menghentikan tindakan kekerasan, membebaskan kesemua tahanan yang ditahan secara tidak adil, membenarkan akses kemanusiaan tanpa sebarang halangan dan mengembalikan semula demokrasi di Myanmar.

AS juga mengenakan sekatan secara berasingan ke atas beberapa pemimpin perniagaan dan syarikat yang didakwa menyediakan bantuan kewangan serta senjata kepada junta tentera.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Tom Andrews bagaimanapun berpendapat sekatan tidak memadai untuk 'menghukum' junta tentera.

"Setahun sudah berlalu tanpa pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang mengenakan embargo senjata secara komprehensif.

"Aliran bekalan senjata kepada junta tentera yang digunakan untuk membunuh orang awam tidak berdosa sememangnya tidak boleh diterima.

"Rakyat Myanmar berhak mendapat pembelaan sewajarnya daripada PBB," tegasnya.

PBB turut merayu dana berjumlah AS$826 juta (RM3.4 bilion) untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada 6.2 juta penduduk yang amat memerlukan di Yangon pada 2022.

Rayuan itu dibuat selepas negara tersebut kini terjerumus dalam situasi merunding yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang menyaksikan krisis ekonomi terburuk berikutan kebanyakan pencari nafkah tidak dapat menyara keluarga mereka kerana hilang pekerjaan dan kenaikan harga.

Pertubuhan antarabangsa itu menganggarkan kira-kira 25 juta daripada 54 juta penduduk di negara itu hidup dalam kemiskinan manakala 14.4 juta yang lain termasuk lima juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

"Kegawatan ekonomi dan krisis politik pada 2021 yang digabungkan dengan impak pandemik Covid-19 telah menyebabkan separuh daripada populasi di negara itu kini terjerumus dalam kancah kemiskinan," kata jurucakap agensi kemanusiaan PBB, Jens Laerke. - AFP

Info

Setahun selepas kudeta

>Lebih 1,500 orang awam terkorban akibat tindakan kekerasan anggota tentera terhadap gerakan prodemokrasi.

>Lebih 11,000 ditahan dan lebih 8,700 masih kekal berada dalam tahanan.

>Lebih 400,000 hilang tempat tinggal manakala 19,000 yang lain merentasi sempadan ke negara jiran untuk mendapatkan perlindungan.

>Tentera didakwa membakar kediaman dan rumah ibadat termasuk gereja. Sehingga 27 Disember 2021, data PBB menunjukkan lebih 2,200 rumah dan infrastruktur orang awam dibakar atau dimusnahkan.

>Kira-kira 14.4 juta di seluruh Myanmar memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2022.