LBS lonjak keuntungan bersih suku tahun pertama

Hock San
Hock San
A
A
A

PEMAJU perumahan, LBS Bina Group Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM39.37 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berdasarkan hasil daripada pendapatan berjumlah RM384.86 juta.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang kepada keuntungan syarikat dengan lebih 96 peratus daripada jumlah pendapatan sebanyak RM370.44 juta yang didorong oleh kadar pengambilan projek utama di Cybersouth, Bukit Jalil dan LBS Alam Perdana.

Menurutnya, sehingga 24 Mei 2023 syarikat telah memperoleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM526 juta daripada rumah mampu milik dengan tempahan berjumlah RM589 juta.

“LBS mempunyai 22 projek pembangunan sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM6.5 bilion. Pada 30 April 2023 jualan tanpa bil sebanyak RM2.39 bilion dijangka akan memberikan pendapatan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Kami berusaha meningkatkan keuntungan bersih luar biasa kepada 9.5 peratus berbanding 8.3 peratus suku pertama 2022 berikutan pelan strategik dan kawalan kos bagi mengoptimumkan margin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, syarikat turut merekodkan jualan hartanah sebanyak RM526 juta dan akan melancarkan kempen terbaharu iaitu ‘rezeki ekstra dikongsi kembali’ menawarkan kepada pembeli rumah memenangi duit raya bernilai lebih RM438,000 dengan enam ganjaran bonus menarik.

Jelasnya, walaupun Bank Negara Malaysia telah meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, namun produk mereka masih berada dalam lingkungan perumahan mampu milik dan terletak di kawasan strategik akan terus menerima permintaan yang kukuh.

“Kami turut merancang pelancaran projek-projek lain dijangka akan meningkatkan jualan hartanah LBS baki tahun ini dengan memberi penekanan kepada kehendak pembeli rumah bagi memenuhi sasaran jualan.

“Bantuan inisiatif ekonomi yang positif seperti keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberi subsidi harga simen bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah RM300,000.

“LBS akan terus beriltizam mengulangi kejayaan pada 2022 dengan komitmen untuk memberikan lebih baik kepada pembeli rumah, komuniti dan pihak berkepentingan,” ujarnya.