AS tamatkan tindakan tarif tertentu - Rumah Putih

Donald Trump. - AFP
Donald Trump. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif pada Jumaat yang menamatkan kutipan duti ad valorem tambahan yang dikenakan di bawah beberapa perintah eksekutif terdahulu bagi menangani keselamatan negara, ketidakseimbangan perdagangan dan ancaman luar, lapor Anadolu Ajansi.

"Memandangkan perkembangan terkini, duti ad valorem tambahan yang dikenakan menurut IEEPA (Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa)... tidak lagi berkuat kuasa dan, secepat yang mungkin, tidak lagi akan dikutip," menurut Rumah Putih.

Perintah eksekutif itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif Trump.

Dalam keputusan 6-3, mahkamah menyatakan Trump melampaui kuasanya apabila mengenakan tarif menyeluruh menggunakan undang-undang yang dikhaskan untuk kecemasan negara.

Menurut perintah itu, semua jabatan dan agensi yang terlibat diarahkan untuk mengambil langkah segera bagi menghentikan kutipan duti tambahan tersebut, dengan pengubahsuaian kepada Jadual Tarif Harmoni akan dilakukan mengikut keperluan.

Perintah itu menjelaskan bahawa langkah perdagangan lain yang baru diperkenalkan, termasuk surcaj import sementara pada 20 Feb dan penggantungan layanan de minimis tanpa duti, kekal berkuat kuasa.

Rumah Putih menekankan bahawa tindakan itu hanya menamatkan duti ad valorem khusus di bawah IEEPA dan tidak mengubah tarif yang dikenakan di bawah bidang kuasa perdagangan lain, termasuk Seksyen 232 Akta Peluasan Perdagangan atau Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk menamatkan kutipan duti ad valorem tambahan yang dikenakan untuk keselamatan negara dan ketidakseimbangan perdagangan
  • Perintah ini dikeluarkan selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif yang dikenakan oleh Trump
  • Mahkamah Agung menetapkan Trump melampaui kuasanya dengan mengenakan tarif menyeluruh
  • Semua jabatan dan agensi terlibat diarahkan untuk menghentikan kutipan duti tambahan ini secepat mungkin
  • Tindakan ini hanya menamatkan duti ad valorem khusus di bawah IEEPA dan tidak mengubah tarif di bawah bidang kuasa perdagangan lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!