TMJ ajak FAM, pakar bola sepak semuka

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia ‘duduk semeja’ dengan beberapa pakar bola sepak tanah air bagi menjawab pelbagai persoalan dan isu berkenaan bola sepak Malaysia.

Malah, Tunku Ismail mencadangkan tiga jurulatih termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain Bojan Hodak dan Lim Teong Kim sebagai antara individu yang boleh dipanggil untuk sesi tersebut.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu memberitahu, pertemuan itu nanti boleh menjadi platform terbaik sebagai pencerahan terhadap segala isu yang didedahkan baginda dalam wawancara khas di Dubai pada Khamis lalu.

“Saya jawab point by point. Fakta. Jadi kalau susah sangat nak faham isu tersebut, jemput FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Teong Kim, Bojan Hodak, Tan Cheng Hoe, semua pakar bola Malaysia dan saya.

“Lontarkan soalan kepada kami dan lihat kami bercakap mengenai isu bola sepak Malaysia. Kita boleh duduk bersemuka dan memberi peluang kepada penyokong bertanyakan soalan tanpa berselindung.

“Tak perlu nak putar belit cerita. Apa yang saya katakan pada temu bual tersebut adalah perancangan FAM kena jelas dan realistik serta FAM perlu telus dan ada engagement dengan penyokong dan media,” katanya di Twitter pada Jumaat.

Dalam wawancara khas bersama Astro Arena dan portal CakapSukan pada Khamis lalu, Tunku Ismail mendedahkan beberapa isu berkaitan FAM dan Harimau Malaya termasuk perihal Teong Kim yang dikatakan meminta gaji sehingga RM374,000 untuk berkhidmat sebagai jurulatih pembangunan JDT.

Artikel Berkaitan:

“Berkenaan LTK (Teong Kim), saya ditanya pendapat mengenai LTK sebagai calon jurulatih pasukan kebangsaan yang baru. Jadi saya jawab dan memberi pendapat saya termasuk gaji yang diminta untuk menjadi jurulatih pembangunan JDT. Kalau LTK nak menafikan, saya ada saksi.

“Akhir sekali kepada semua, jangan putar belit apa yang saya katakan. Lihat semula temu bual tersebut dan dengar apa yang dimaksudkan kerana benda itu semua tak susah untuk difahamkan. Kalau masih tak faham, selamat berjaya!” jelas Tunku Ismail.