X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

'Saya jadi kambing hitam sedangkan saya tiada kaitan' - TMJ

Tunku Ismail
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal dakwaan mengaitkan dirinya sebagai individu yang berperanan sebagai ‘tangan ghaib’ di sebalik tabir pengurusan skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, Tunku Ismail mendedahkan bahawa baginda tidak pernah menyekat atau enggan memberikan kerjasama untuk melepaskan pemain JDT menyarung jersi skuad kebangsaan.

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut menyifatkan isu ‘tangan ghaib’ yang ditimbulkan penyokong bola sepak Malaysia termasuk netizen di media sosial lebih kepada beberapa pihak yang mahu ‘lepas tangan’.

“Isu ‘tangan ghaib’ ini lebih kepada ada beberapa pihak yang mahu lepaskan tangan atau selamatkan kepala masing-masing. Kegagalan perancangan, kegagalan jurulatih untuk ada hubungan yang telus dengan media dan penyokong.

“Ini semua ada ‘tangan ghaib’, (alasan) senang saja. Saya sebagai 'kambing hitam' sedangkan saya tiada kaitan pun dengan benda ini. Mungkin mahu selamatkan diri masing-masing, jadi mainkan persepsi seolah-olah TMJ kawal segala-galanya.

“Kalau nak katakan (JDT enggan lepaskan pemain), berapa ramai pemain JDT ke Jordan. Kesebelasan utama dan juga pemain simpanan kerana saya sentiasa menolong skuad kebangsaan.

“Kita ada persefahaman dengan semua pasukan dalam negara untuk bantu skuad kebangsaan. Sebab itulah, saya katakan jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena lebih telus,” katanya dalam wawancara bersama portal CakapSukan di Dubai pada Khamis.

Pada masa sama, Tunku Ismail mendedahkan FAM tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku di sebalik kegagalan Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Setahu saya, FAM membuat perancangan untuk menghantar skuad Bawah 23 tahun (B-23) ke Piala AFF baru-baru ini tetapi yang pergi ke sana adalah skuad senior.

“Tujuan skuad B-23 diturunkan adalah untuk diberikan pendedahan manakala skuad senior ada pertandingan lain yang akan diberikan fokus tetapi mereka menukar rancangan pada minit-minit akhir dan itulah akibatnya.

“FAM turut gagal tampil ke hadapan iaitu kepada pihak media untuk menceritakan perkara yang sedang berlaku. Apabila terlalu lama berdiam atau ada jarak komunikasi dengan pihak media dan penyokong, itu sebab terlalu banyak spekulasi,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!