Ronaldo tamatkan mogok, sedia kembali perkuat Al Nassr

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah mengambil keputusan untuk menamatkan tindakan memboikot perlawanan Al Nassr, menurut sumber kepada ESPN.

Pemain berusia 41 tahun itu sebelum ini menyisihkan diri daripada dua perlawanan Liga Pro Saudi melibatkan kemenangan 2-0 ke atas Al Ittihad Jumaat lalu serta kemenangan menentang Al Riyadh minggu sebelumnya.

Menurut sumber, kapten Portugal itu mengesahkan akan kembali menyarung jersi pasukan bagi pertemuan menentang Al Fateh pada 14 Februari ini.

Difahamkan, Al Nassr turut mempunyai jadual perlawanan pada Rabu ini di Arkadag bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Dua.

Terdahulu, ESPN melaporkan bahawa tindakan Ronaldo tidak beraksi dalam dua perlawanan tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Tabung Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi serta kurangnya bantuan dana kepada kelabnya ketika jendela perpindahan pemain.

Ronaldo dikatakan kecewa apabila melihat pesaing utama kelabnya, Al Hilal—yang turut dimiliki 75 peratus oleh PIF berjaya menandatangani bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema dari Al Ittihad pada jendela perpindahan Januari.

Bagaimanapun, laporan terkini menyebut bahawa Ronaldo bersetuju untuk kembali ke padang selepas melihat tuntutan utamanya dipenuhi oleh PIF.

Bintang itu menyatakan kesediaannya untuk kembali beraksi selepas badan induk berkenaan melangsaikan tunggakan gaji Al Nassr dan mengembalikan autonomi pengurusan kepada eksekutif tertinggi kelab.

Susulan persetujuan itu, Pengarah Sukan, Simao Coutinho dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jose Semedo yang sebelum ini digantung tugas oleh PIF kini dilaporkan memperoleh semula kuasa mereka, kata sumber.

Artikel Berkaitan:

Setakat musim ini, Ronaldo telah beraksi dalam 22 perlawanan untuk pasukan itu, meledak 18 gol serta menyumbang tiga bantuan gol.

Kedudukan semasa menyaksikan Al Nassr kini berada di tangga kedua Liga Pro Saudi, hanya ketinggalan satu mata di belakang musuh tradisi, Al Hilal.

Ringkasan AI

  • Cristiano Ronaldo mengakhiri boikot perlawanan Al Nassr dan akan bermain menentang Al Fateh pada 14 Februari
  • Sebelum ini, Ronaldo tidak bermain dalam dua perlawanan Liga Pro Saudi kerana tidak puas hati dengan kurangnya bantuan dana kepada kelab
  • Ronaldo kecewa apabila Al Hilal, pesaing utama, mendapatkan Karim Benzema dengan bantuan Tabung Pelaburan Awam (PIF)
  • Tuntutan Ronaldo dipenuhi oleh PIF, termasuk pelunasan tunggakan gaji Al Nassr dan pemulihan autonomi pengurusan kepada eksekutif kelab
  • Ronaldo telah menjaringkan 18 gol dalam 22 perlawanan untuk Al Nassr, membawa pasukan itu ke tangga kedua Liga Pro Saudi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!