Sultan Selangor dukacita pengamal perubatan tawar sijil Covid-19 palsu

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita berikutan terdapat segelintir pengamal perubatan swasta di negeri ini menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu.

Selangor Royal Office melalui kenyataan Facebook pada Sabtu memaklumkan, Sultan Sharafuddin terkejut dengan modus operandi yang diguna pakai oleh individu terbabit.

Menurut kenyataan itu, doktor yang memiliki sebuah klinik di Gombak bersama enam pembantu itu tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

"Baginda meminta pihak berkuasa di Selangor mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.

"Jika didapati bersalah, mereka harus dijatuhi hukuman paling berat," ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, baginda turut berdukacita kerana ada dalam kalangan pengamal perubatan beragama Islam sanggup melakukan perkara keji dan berdosa untuk memperoleh kekayaan segera.

"Baginda amat kecewa dengan perkembangan itu kerana boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Kenyataan itu memberitahu, baginda turut bertitah rakyat di negara ini tidak mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan penularan pandemik Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

Artikel Berkaitan:

"Baginda berharap tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam," jelas kenyataan itu.

Pada 17 Januari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, polis mengesan sebuah klinik swasta di Gombak disyaki mengeluarkan Sijil Vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Seramai tujuh individu berusia antara 20 hingga 35 tahun membabitkan empat lelaki dan tiga wanita ditahan.

Siasatan awal mendapati kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan yang tular di aplikasi WhatsApp menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.