UMNO jamin tidak tumpang kekuatan Pas

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO memberi jaminan tidak akan 'menumpang' kehebatan dan kekuatan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pas yang mempunyai satu juta ahli itu tidak wajar memarahi UMNO sekiranya tidak bersama-sama dengan parti tersebut.

"Saya akui kehebatan Pas. Pas adalah parti yang besar dan sangat hebat. Semoga kekuatan dan kehebatan tersebut terbukti dalam PRN Johor nanti.

"Saya beri jaminan pada Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan cuba menumpang kehebatan dan kekuatan Pas.

"Cuma janganlah pula Tan Sri memarahi kami jika kami tidak mahu bekerjasama dan menunggang kehebatan dan kekuatan Pas. Yang pasti, kami doakan yang terbaik untuk Pas sebagai parti besar, hebat dan kuat dalam PRN Johor nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Abdul Hadi berkata, Pas bukan parti yang lemah sehingga perlu menjadi peminta sedekah dalam mendapatkan kerusi untuk bertanding dalam PRN Johor nanti.

Presiden Pas itu turut mendakwa PRN Johor adalah agenda pemimpin kluster mahkamah dalam UMNO serta mereka yang tidak berjawatan yang menyusahkan rakyat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menafikan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi melaksanakan PRN Johor mempunyai kaitan dengan kluster mahkamah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat kerana kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil susulan hanya mempunyai satu kerusi majoriti.

Artikel Berkaitan:

"PRN Johor tidak ada kena mengena dengan kluster mahkamah. Saya setuju, isu mereka harus diserahkan kepada mahkamah. Itulah pendirian saya, UMNO dan BN selama ini.

"Cuma, hakikatnya, kerajaan negeri Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah satu kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.

"Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN.

"Kita tidak boleh terus menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat," katanya.