'Bubar DUN, paksa PRN satu strategi politik tidak baik'

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan sebagai satu strategi politik tidak baik yang digerakkan oleh segelintir pemimpin UMNO.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sedar ada golongan tertentu seperti kluster mahkamah, kluster kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kluster pemimpin tiada jawatan dalam parti sedang melaksanakan strategi tidak sihat tersebut demi kepentingan sendiri.

"Bukan semua UMNO, sebahagian UMNO iaitu kluster saya sebutkan ini yang memainkan politik tidak sihat. Selepas Johor, negeri mana pula mahu buat PRN, Perak? Lepas Perak di mana pula, lepas satu satu negeri. Ini meletihkan rakyat, jadi kita kena faham.

"Kluster mahkamah kita tidak anggap bersalah kerana orang yang dituduh belum tentu salah. Jadi kalau kita ada moral dan kita betul, lawan di mahkamah jangan susahkan rakyat dengan pilihan raya negeri demi mahu selamatkan diri.

"Kluster yang kalah dalam pilihan raya pula tunggulah pilihan raya umum (diadakan), kena sabarlah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Kecewa dengan situasi tersebut, Abdul Hadi berkata, UMNO tidak seharusnya mengambil pendekatan seperti itu kerana setiap parti politik ada kekuatan masing-masing dengan Pas sendiri menguasai Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Kita tahu strategi di Melaka yang menggunakan undi teras UMNO akan dibawa ke Johor.

"Jadi saya nak beritahu, Pas ada batas dan sempadan. Jangan buatlah pilihan raya negeri-negeri, kalau masih mahu buat kita juga ada strategi kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini.