Sila log masuk terlebih dahulu.

Prosiding dengar permohonan Najib guna QC pada Jun depan

Mohd Najib
Mohd Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding untuk mendengar permohonan Datuk Seri Mohd Najib Razak supaya menerima masuk Queen’s Counsel (QC) bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, dijangka berlangsung antara 20 hingga 24 Jun depan.

Ketika dihubungi media, selepas pengurusan kes rayuan itu di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, peguam Najib diarahkan untuk memfailkan permohonan untuk menerima masuk QC kira-kira sebulan sebelum tarikh berkenaan, iaitu pada 20 Mei ini.

"Bagi rayuan untuk memasukkan bukti baharu, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan pada 28 Februari ini.

"Rayuan itu pula, akan didengar pada 15 dan 16 Mac depan," katanya, selepas prosiding yang diadakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Mohd Ashrof berkata, bagi pengurusan kes rayuan utama, mahkamah sama menetapkan prosiding dijalankan pada 25 Februari ini.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkannya (Jho Low) menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara, memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.