Kedai Barangan Bekalan Ladang elak manipulasi harga

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman (kiri) menyerahkan zakat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, di sini, pada Khamis.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman (kiri) menyerahkan zakat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, di sini, pada Khamis.
A
A
A

JERLUN - MADACorp mengambil insiatif membuka Kedai Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, di sini dalam usaha mengelakkan manipulasi harga barangan ladang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kedai berkenaan merupakan salah satu inisiatif untuk memudahkan peladang mendapatkan keperluan barangan ladang.

Beliau memberitahu, inisiatif berkenaan juga adalah bagi membolehkan peladang mendapatkan barangan ladang pada harga terkawal dan berpatutan.

“Jadi, kita sarankan peladang menjadikan kedai berkenaan pilihan mereka untuk membeli barangan seperti baja dan racun bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak tertentu.

“Lagipun, harga barangan ladang di kedai ini terkawal di bawah pemantauan PPK sendiri, sekaligus memberi peluang peladang mendapatkan harga yang baik dan kompetitif,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli; Pengerusi MADACorp, Ahmad Himi Talib; Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Nik Kun Nik Man dan Pengerusi PPK MADA E-II Kubang Sepat, Muhamad Fuad Yaacob.

Beliau turut memberi peringatan kepada peladang supaya tidak membeli racun di pasaran gelap yang murah namun tidak mendapatkan kelulusan pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya tidak menggalakkan peladang membeli racun di pasaran gelap, sebaliknya membeli barangan di kedai BBL yang disediakan tersebut.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padu (SIPP) menjadikan jumlah insentif bagi setiap peladang adalah sebanyak RM300.

“Justeru, peladang dapat memanfaatkan insentif tersebut untuk membeli barangan bekalan ladang di kedai BBL di PPK MADA E-II, Kubang Sepat, di sini,” katanya.

Sebelum itu, beliau menyampaikan zakat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada 40 asnaf daripada kawasan PPK MADA E-II Kubang Sepat.