Bekalan cukup di pasaran punca harga ayam murah

Harga ayam di pasar raya kini boleh didapati pada harga RM7.79 sekilo. Gambar kecil: Tan Chee Hee
Harga ayam di pasar raya kini boleh didapati pada harga RM7.79 sekilo. Gambar kecil: Tan Chee Hee
A
A
A

SHAH ALAM - Stok bekalan ayam yang mencukupi daripada pembekal antara punca harga ayam segar di pasaran kini boleh didapati pada harga lebih murah.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, bagaimanapun permintaan pengguna dan jumlah stok perlu seimbang bagi mengawal perubahan harga ayam dalam pasaran.

“Jika permintaan tinggi, namun stok tidak mencukupi maka harga ayam akan kembali meningkat seperti sebelum ini.

“Kini harga ayam hanya RM7.79 sekilo jauh lebih murah dengan harga siling di pasaran yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilo.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan sekarang berusaha keras dalam mengawal harga barang terutamanya yang membabitkan barangan keperluan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, minggu lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, bekalan telur dan ayam kembali pulih hasil usaha pihak kementerian dalam memastikan ia cukup untuk memenuhi permintaan pengguna.

Mengulas lanjut, Chee Hee menjelaskan, harga ayam segar dijangka masih terkawal sehingga September depan namun bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada mahu melanjutkan kawalan harga atau tidak.

“Sebagai penternak, kami akan mengikut setiap perancangan oleh kerajaan dalam mengawal harga ayam kerana pihak terbabit lebih mengetahui apa yang terbaik untuk pengguna,” ujarnya.