Lelaki ambil suntikan besarkan otot punggung ditemui mati

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang baru selesai mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hotel di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 3 petang itu disedari rakan mangsa selepas mendapati lelaki yang berperwatakan lembut berusia 31 tahun itu tidak lagi bernafas dalam keadaan terbaring di katil.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat awal mengatakan mangsa bersama rakannya telah datang ke hotel berkenaan pada jam 9 pagi bagi tujuan suntikan berkenaan.

Menurutnya, mangsa telah membuat janji temu bersama seorang wanita yang juga merupakan peniaga kosmetik dari Melaka bagi tujuan berkenaan dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.

"Pada jam lebih kurang 12 tengah hari setelah selesai suntikan, mangsa telah meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat.

"Ketika itu mangsa ditemani rakannya manakala wanita terbabit keluar hotel untuk pulang ke Melaka.

"Bagaimanapun sekitar jam 3 petang, wanita itu kembali semula ke hotel selepas dimaklumkan mangsa tidak bernafas dan tidak bergerak," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai kesihatan yang hadir bersama ambulans.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini, doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah disebabkan paru-paru bengkak dan berair.

"Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah," katanya.