Lelaki ditemui mati dengan kesan cedera dalam teksi

Keadaan di lokasi kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di Kuala Nerus, malam Khamis.
Keadaan di lokasi kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di Kuala Nerus, malam Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah teksi dipercayai miliknya dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini, malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.56 malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.

Katanya, lelaki tempatan berusia 51 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan tersebut.

Jelas beliau, siasatan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan, pihak polis telah menjumpai sebilah pisau di atas pelapik tempat kaki bahagian pemandu.

"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun untuk membantu siasatan berhubung insiden tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Abdul Rahim memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: