Keputusan UMNO, Pas putus kerjasama bukan mengejut

Mohd Zain
Mohd Zain
A
A
A

BACHOK - Keputusan UMNO Kelantan yang tidak mahu meneruskan hubungan dengan Pas di negeri ini dalam jalinan kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN) bukan dibuat secara mengejut.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, malah UMNO sudah lama memberi bayangan berkaitan perkara itu sejak dua tahun lalu sebelum memutuskan hubungan dengan Pas menerusi perbincangan pada peringkat akar umbi.

“UMNO sebenarnya pernah mengadakan perbincangan bersama akar umbi dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO pada tahun 2020 dan bulan Disember 2021 berkaitan perkara sama.

“Jika diingat, UMNO sejak dua tahun lepas, terlebih dahulu tidak mahu berhubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan memutuskan hubungan pada tahun lepas manakala Pas sepatutnya lebih sensitif terhadap ‘signal’ yang diberikan serta keputusan memutuskan hubungan dengan Pas ini bukan secara mengejut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Wanita UMNO Bahagian Bachok di Chalet Pantai Tok Abah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bachok, Zakiah Mohd Noor dan Naib Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Kelantan Azizun Abdul Rahman.

Majlis dengan kerjasama (LKPIM) itu disertai lebih 100 wanita dan warga emas pelbagai latar belakang selepas menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh empat bulan sehingga 18 Januari lalu.

Mohd Zain (dua dari kanan) dan Zakiah (kanan) beramah mesra dengan peserta Majlis Khatam al-Quran Wanita UMNO Bahagian Bachok di Chalet Pantai Tok Abah, Bachok, pada Selasa.
Mohd Zain (dua dari kanan) dan Zakiah (kanan) beramah mesra dengan peserta Majlis Khatam al-Quran Wanita UMNO Bahagian Bachok di Chalet Pantai Tok Abah, Bachok, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Zain mengingatkan kembali perjanjian kerjasama politik yang dimeterai antara UMNO dan Pas yang ketika itu dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, sempena Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikut perjanjian oleh dua presiden parti sebelum ini bersetuju untuk bersama tanpa melibatkan pihak lain tetapi apabila Pas meletakkan syarat dan membawa bersama pihak lain ke dalam muafakat ini, maka kita tidak bersetuju.

“Jadi kalau disebutkan hubungan yang dipersetujui, Pas sudah jauh menyimpang dan dalam politik, saya rasakan ini antara kaedah terbaik untuk mengajar serta menyedarkan kita tentang matlamat serta hala tuju supaya kita tidak mengikari perjanjian bersama hanya kerana kepentingan sementara,” katanya.

Beliau bagaimanapun melihat hubungan yang putus tersebut bukanlah silaturahim sesama kedua-dua parti sebaliknya hanya tidak ada kerjasama dalam jalinan politik Muafakat Nasional sahaja.

“Kita masih ada lagi satu talian hanyat iaitu pihak yang tertinggi dalam parti.

“Setakat ini, kita putus namun sekirannya hubungan dibina semula, kita terima atas dasar menghormati keputusan kepimpinan tertinggi dan suara akar umbi,” katanya.