Curi air: JANS rugi RM180 juta setahun

Penguat kuasa JANS memotong sambungan haram untuk mencuri bekalan air menerusi saluran paip utama di penempatan setinggan Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.
Penguat kuasa JANS memotong sambungan haram untuk mencuri bekalan air menerusi saluran paip utama di penempatan setinggan Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Alat sambungan paip ditanam sedalam hampir satu meter antara taktik digunakan oleh penduduk bagi mengelak kegiatan mencuri air dihidu oleh penguat kuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Selain itu, pihak yang tidak bertanggungjawab turut menebuk saluran paip utama dan membuat sambungan sendiri sebelum diagihkan ke rumah penduduk terutama di kawasan setinggan.

Pengarah JANS, Ir Edward Lingkapo berkata, kegiatan penyambungan haram dan kecurian air itu menyebabkan jabatan itu mengalami kerugian sehingga RM180 juta setahun selain pengguna mempunyai meter tidak menerima bekalan air yang sepatutnya.

Edward Lingkapo
Edward Lingkapo

"Bagi kawasan utara Kota Kinabalu iaitu kawasan Telipok, Manggatal, Sepanggar dan kawasan berdekatan Tuaran paling tinggi jumlah air yang dicuri iaitu mencecah lapan juta liter air.

"Anggaran kerugian yang dihadapi untuk setahun antara RM150 juta hingga RM180 juta. Jadi ini satu kerugian kepada kerajaan dan dalam masa sama membebankan rakyat yang bertaraf status membayar meter air, tidak adil untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Pemotongan Sambungan Paip Haram di penempatan setinggan di Tebobon, pada Isnin.

Katanya lagi, kegiatan itu menyebabkan beberapa kawasan di utara Kota Kinabalu terjejas bekalan air terutama di University Utama Condominium (UUC) dan University Condo Apartment 2 (UCA2).

"Mereka tebuk saluran paip air kita, paip ini bukan paip agihan. Air masuk ke tangki dan agih kepada rumah-rumah terus dari Loji Talibong di mana air ini sepatutnya disalurkan ke UUC dan UCA2.

Artikel Berkaitan:

"Bila kegiatan ini dilakukan, air sentiasa mengalir kerana tiada meter. Sebab itu saya selalu menerima aduan daripada penduduk di dua tempat ini apabila mereka tidak menerima bekalan air.

"Jika saya dapat potong (sambungan haram), sebanyak lima juta liter sehari penggunaan di UUC dan dua juta liter air di UCA2 akan dapat ditampung untuk pengguna di kawasan itu," katanya.

Sambungan haram air di kawasan penempatan setinggan di Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.
Sambungan haram air di kawasan penempatan setinggan di Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Edward berkata, JANS memerlukan bantuan daripada pelbagai agensi tempatan termasuk pihak berkuasa untuk melaksanakan operasi berkenaan.

"Kita jalankan operasi bersepadu ini di mana setiap agensi mempunyai peranan masing-masing termasuk daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita tidak boleh tangkap mereka kerana bukan di bawah bidang kuasa kita sebab itu kita minta agensi lain untuk membantu JANS," katanya.