Banjir: Pahang tambah RM19,000 bina rumah baharu

Wan Rosdy (dua, kanan) menyerahkan suratan hak milik peneroka Felda Kemasul di Bentong pada Sabtu.
Wan Rosdy (dua, kanan) menyerahkan suratan hak milik peneroka Felda Kemasul di Bentong pada Sabtu.
A
A
A

BENTONG - Kerajaan negeri bersetuju menambahkan peruntukan sebanyak RM19,000 untuk pembinaan rumah baharu bagi mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia selepas terdapat cadangan jumlah itu tidak mencukupi berikutan kenaikan harga bahan binaan.

Menurutnya, jumlah itu akan disalurkan bersama peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM56,000 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM75,000 bagi membina rumah baharu mengikut konsep Rumah Rakyat Pahang (RRP) sedia ada.

"Semasa bermesyuarat bersama Perdana Menteri, kerajaan negeri mohon izin kerajaan Persekutuan supaya kerajaan negeri menambahkan RM19,000 menjadikan jumlahnya RM75,000.

"Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan tersebut jadi kita kena tambah jumlah terbabit," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sedemikian selepas majlis penyampaian suratan hak milik kepada 389 peneroka Felda Kemasul di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga memberitahu, kerajaan negeri bersetuju mengecualikan denda lewat pembayaran cukai tanah kepada semua peneroka di Felda terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah tersebut membabitkan nilai hampir RM500,000 yang boleh memberikan kelegaan kepada mereka (peneroka)," ujarnya lagi.

Sementara itu, Wan Rosdy turut memberitahu kerja-kerja pembersihan sisa-sisa puing akibat banjir di daerah Bentong telah dijalankan pada minggu ini.

"Kerajaan negeri telah bersetuju supaya Jabatan Pengairan Saliran(JPS) membersihkan sisa-sisa tersebut dan kita akan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Bagi perkara berkaitan kayu, ia akan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan," tambahnya.

Jelasnya, pihak-pihak lain yang ingin membantu perlu merujuk kepada JPS yang mengetuai operasi pembersihan tersebut.