Pantau bas sekolah tidak berdaftar

Mohamad Haron (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wong Chen selepas majlis perasmian.
Mohamad Haron (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wong Chen selepas majlis perasmian.
A
A
A

PUCHONG - Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kinrara, Puchong menggesa pihak berkuasa dan Kementerian Pengangkutan melaksanakan proses pemutihan bas sekolah tidak berdaftar dengan kadar segera bagi menggelakan kegiatan itu terus berleluasa khususnya di Selangor.

Pengerusinya, Mohamad Haron Mohd Sidik berkata, sejak tahun lalu, pendapatan kebanyakan pengusaha bas sekolah berdaftar di negeri ini terjejas teruk berikutan daripada operasi perkhidmatan yang diusahakan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Lebih membimbangkan, Mohd Haron berkata, ada diantara pengusaha bas tidak berdaftar turut berselindung dengan mengubahsuai kenderaan mereka bagi menggelakan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

"Mereka semakin bijak kerana ada di antara pengusaha yang ubahsuai bas atau van persendirian mereka seperti bas sekolah biasa, namun tidak pernah menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom), tiada permit dan sebagainya.

"Pihak persatuan mengesan kegiatan ini di Bandar Kinrara dan terdapat lebih daripada lima kenderaan yang diubah suai bagi mengaburi mata ibu bapa serta pihak berkuasa," katanya selepas Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kinrara, Puchong Kali ke-14 di Kelan Golf Kinrara, hari ini.

Hadir sama bagi merasmikan program tersebut adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa kementeriannya akan melaksanakan proses pemutihan bas sekolah tidak berdaftar selewat-lewatnya pada tahun ini berikutan pihaknya memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan isu itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Haron berkata, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu mengambil tindakan tegas terhadap permasalahan ini bagi menggelakan kegiatan berkenaan berleluasa tanpa sebarang kawalan.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, terdapat seramai 3,800 pengusaha bas sekolah berdaftar di negeri ini namun jumlah pihak yang menjalankan perkhidmatan itu secara haram dilihat lebih ramai iaitu mencecah sehingga kira-kira 5,000 orang.

"Disebabkan itulah kami menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sebelum permasalahan ini tidak dapat dikawal dan turut menjejaskan pendapatan harian kami," katanya.

Sebahagian ahli persatuan merakamkan gambar bersama selepas majlis perasmian.
Sebahagian ahli persatuan merakamkan gambar bersama selepas majlis perasmian.

Dalam pada itu, sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, Wong Chen berkata, isu pemutihan bas haram ini gagal dilaksanakan secara berkesan disebabkan oleh aspek penguatkuasaan serta berkemungkinan turut melibatkan isu-isu rasuah.

Oleh sebab demikian, Wong Chen menyarankan supaya kementerian terlibat dapat membanteras sebarang unsur-unsur rasuah bagi memastikan aspek penguatkuasaan tidak dipengaruhi oleh sebarang tindakan tidak sihat.

"Untuk pastikan mereka bersih daripada rasuah, kita kena lihat sistem yang berkesan contohnya dengan pemberian gaji mencukupi kepada penjawat awam.

"Ini kerana kerajaan boleh lakukan beberapa kaedah bagi melawan rasuah dan sebagainya namun jika gaji penjawat awam tidak naik, mungkin inisiatif itu tidak akan berkesan kerana mereka (penjawat awam) memerlukan wang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!