Hilang sejak Ahad lalu, di mana Dr Aslam?

Usaha mengesan Aslam turut menggunakan saluran media sosial
Usaha mengesan Aslam turut menggunakan saluran media sosial
A
A
A

KUANTAN - Misteri kehilangan seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sejak Ahad lalu terus menimbulkan tanda tanya apabila dia gagal dikesan hingga hari ini.

Kehilangan mangsa , Aslam Nasiruddin, 29 dari Taman Samudera, Indera Mahkota disedari isterinya, Nurjannah Ngatman, 28, kira-kira jam 5.30 petang selepas suaminya itu tiada di rumah.

Bapa kepada seorang anak yang berusia lima bulan itu difahamkan keluar rumah menaiki kereta jenis Perodua Kancil pada hari berkenaan dan tidak pulang ke rumah sejak itu.

Usaha mengesan mangsa menemui jalan buntu apabila dia gagal dihubungi dan laporan polis berhubung kehilangannya dibuat Isnin lalu.

Bapa saudaranya, Shamsul Kamal Mohd Yusof berkata, Aslam berhenti kerja secara mengejut selepas menghantar notis 24 jam pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa difahamkan tertekan dengan masalah kerja sehingga bertindak demikian, namun keputusan itu dibuat tanpa memaklumkan kepada keluarga.

“Sejak itu keadaannya nampak agak tertekan sebelum keluar rumah dan tidak pulang hingga sekarang.

“Kami cuba mengesannya tapi tak dapat selepas dia matikan telefon yang digunakan malah keluarganya di Shah Alam juga tidak mengetahui dia mana dia berada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Kamal berkata, keluarga ada membuat semakan akaun bank Aslam tetapi sepanjang tempoh kehilangan mangsa, tiada rekod pengeluaran wang dibuat.

“Kami bimbang keselamatannya selain kasihan dengan isteri yang tertekan dengan kehilangan suaminya.

“Kami mohon bantuan masyarakat yang mungkin ternampak atau mempunyai maklumat berhubung Aslam boleh hubungi saya di talian 01119324324,” katanya.

Sementara itu, Nurjannah berkata, pada pagi hari kejadian, dia ada di rumah cuma tidak sedar bila suaminya keluar.

“Dia pun tak bagi tahu nak ke mana sebelum itu hinggalah sampai petang dia tak balik.

“Suami ada cakap nak berhenti kerja tapi masa itu keadaannya seperti biasa, cuma saya perasaan wajahnya nampak seperti tertekan," katanya.

Katanya, selepas Aslam menghantar surat berhenti, dia habiskan masa di rumah sebelum keluar pada Ahad lalu dan tidak pulang-pulang sampai sekarang.