Tanda tanya skim insurans percuma Selangor

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SKIM Insurans Am Selangor (INSAN) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun lalu kini hangat diperkatakan selepas beberapa individu mendakwa nama mereka didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.

Terdapat juga dakwaan berlaku kebocoran data peribadi apabila ada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia didaftarkan sebagai penerima skim berkenaan.

Menjawab isu tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, data yang mengandungi nama, alamat dan nombor kad pengenalan tersebut adalah data awam yang boleh dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan prapendaftaran INSAN.

Menurut beliau, setiap nama dalam skim itu perlu mengesahkan nombor kad pengenalan dan swafoto gambar penama sebagai tanda memberi kebenaran pendaftaran tersebut.

Penjelasan Amirudin bagaimanapun menimbulkan tanda tanya baharu kerana proses prapendaftaran automatik tidak sepatutnya berlaku untuk produk kewangan yang tertakluk akta tertentu.

Lebih meragukan kerana dokumen insurans berkenaan mempunyai tarikh luput serta tertulis ‘polisi diaktifkan’ dan bukannya ‘prapendaftaran’. Timbul juga persoalan mengenai kemungkinan terdapat pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Justeru, kerajaan negeri wajar menjelaskan lebih lanjut pelbagai persoalan ini. Tidak dinafikan Insan memberi manfaat kepada rakyat, apatah lagi Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan perlindungan insurans percuma seperti itu.

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkelompok untuk enam juta penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Skim insurans percuma dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Malaysia mencatatkan angka kemalangan jalan raya yang tinggi setiap tahun. Tahun lalu sahaja lebih 400,000 kemalangan dicatatkan, kebanyakannya penunggang motosikal. Angka kematian dari tahun 2010 hingga 2019 pula mencatat 67,304 kematian atau purata 20 orang maut setiap hari akibat nahas.

Jelaslah skim INSAN penting pada saat ini. Kita tidak mahu kontroversi yang melanda bertukar menjadi skandal yang akan merugikan rakyat Selangor lebih-lebih lagi jika skim itu terpaksa dihentikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Program INSAN: Dakwaan salah guna data, polis terima 8 laporan

Operasi laman sesawang INSAN digantung

'Boleh saman kes program INSAN' - Peguam

Nafi guna data pengguna tanpa kebenaran untuk program INSAN - MB Selangor