X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Pelaburan Kedah cecah RM57.1 bilion, lebihi sasaran

Muhammad Sanusi (tengah) bersama Affendi (kiri) dan Ku Abd Rahman (kanan) secara simbolik melancarkan pra pelancaran hab e-dagang di Wisma Darul Aman pada Khamis.
A
A

ALOR SETAR - Kedah mencatatkan jumlah pelaburan melebihi sasaran ditetapkan berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Kedah 2035, yang menetapkan sebanyak RM10 bilion setahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, berdasarkan laporan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), prestasi pelaburan yang diluluskan di Kedah bagi semua sektor merangkumi pembuatan, perkhidmatan dan primer adalah RM57.1 bilion.

Menurutnya, jumlah pelaburan itu adalah bagi tempoh Januari sehingga September 2021.

“Kedah sekarang berada di kedudukan teratas dalam perbandingan di semua negeri di seluruh Malaysia. Perkembangan ekonomi negeri yang direkodkan dalam tempoh setahun lalu telah melalui fasa perkembangan yang mengejutkan banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pra pelancaran hab e-dagang di Bukit Kayu Hitam dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara KT Express Logistics Sdn Bhd dengan Invest Kedah Berhad di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Perjanjian tersebut ditandatangani Exco Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Berhad, Muhamad Mahazi Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif, KT Express Logistics Sdn Bhd, Datuk Affendi Mohamed Zain serta Ketua Pegawai Operasi KT Express Logistics Sdn Bhd, Mohd Shamsuri Abdul Aziz.

Muhammad Sanusi berkata, pelaburan bagi sektor pembuatan di Kedah yang telah diluluskan mencatatkan nilai sebanyak RM55.49 bilion secara keseluruhannya, membabitkan RM310.98 juta Pelaburan Langsung Domestik (DDI) manakala RM55,186.15 juta untuk Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Sebanyak 34 projek pelaburan telah diluluskan dengan menawarkan 11,030 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi sektor perkhidmatan, Kedah menerima pelaburan sebanyak RM638.38 juta dengan 64 projek telah diluluskan. Daripada jumlah ini, RM458.84 juta merupakan DDI manakala RM179.54 juta adalah FDI,” ujarnya.

Menurutnya, antara projek pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan adalah perkhidmatan hotel dan pelancongan, logistik, perkhidmatan penyediaan utiliti serta perdagangan.

“Bagi sektor primer pula, Kedah menerima pelaburan sebanyak RM964.49 juta terdiri daripada industri perlombongan, pertanian dan perladangan,” jelasnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, pelabur dari luar negara menerusi FDI mendominasi jumlah pelaburan negeri yang menggambarkan usaha dilakukan kerajaan negeri menerusi Invest Kedah Berhad berjaya memainkan peranan besar dalam menarik pelaburan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!