Ismail ikrar pertahan Tunku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim hari ini memberikan aku janji kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mempertahankan kedaulatan institusi diraja, mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta melaksanakan segala ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Ismail berkata, dalam aku janji berkenaan, beliau menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain berikrar tidak akan melakukan atau membenarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedaulatan, kuasa, hak dan keistimewaan baginda.
Beliau turut mengesahkan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan tidak akan diwartakan.
"Alhamdulillah, saya diberi perkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz untuk meneruskan tugas-tugas sebagai Menteri Besar. Oleh itu, saya menegaskan tanpa berbelah bahagi Tuanku Muhriz kekal bersemayam sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
"Saya tidak akan melakukan dan tidak akan membenarkan dilakukan oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan, agensi atau pegawai kerajaan negeri apa-apa perbuatan yang mengurangkan, merampas, mengetepikan atau menjejaskan kedaulatan, jawatan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan baginda,” katanya kepada pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.
Ismail juga berikrar bahawa beliau dan kerajaan negeri tidak akan menyokong atau memudahkan sebarang usaha mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz, mengiktiraf individu lain sebagai Yang Dipertuan Besar atau menghidupkan semula proklamasi berkenaan.
Selain itu, beliau mengiktiraf ketetapan DKU bertarikh 31 Julai, 20 Ogos, 13 Sept, 18 September dan 4 November termasuk menerima pengiktirafan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi.
Beliau juga akur bahawa Datuk Mubarak Thahak@Dohak dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang jawatan Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu menurut adat Luak masing-masing pada tarikh yang terpakai baginya.
Abdul Rahim Yassin pula tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki dan pelantikan beliau tidak pernah disempurnakan melalui istiadat menzahirkan kejadian Undang.
"Oleh yang demikian, tiada seorang pun daripada mereka yang tersebut di atas mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Selain itu, Ismail turut menyatakan penerimaan dan perakaman makluman Datuk Shahbandar Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid telah dilucutkan menurut adat Luak Sungai Ujong.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, beliau telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bagi menarik balik surat bertarikh 17 September dan akan memastikan pembatalan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 15 September direkodkan dalam minit mesyuarat akan datang.
"Saya mengulangi sumpah taat setia ini dibuat bersaksikan al-Quran bahawa sesungguhnya saya bersumpah untuk menghormati dan mengikrarkan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan institusi diraja, melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan negeri serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada DKU.
"Akhir sekali ya, saya menurunkan tandatangan, saya menurunkan aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya. Saya tidak berada di bawah apa-apa paksaan, ugutan dan pengaruh yang tidak wajar,” katanya.
Ismail berkata, aku janji tersebut dibuat atas kesedarannya yang khilaf dalam menerajui kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini dan beliau bertanggungjawab memastikan semua anggota kerajaan negeri terus menghormati dan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan seluruh institusi diraja serta DKU.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
