'Kon Yeow tidak hormati bantahan lima pengarah bebas PBAH' - Guan Eng

A
A
A

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow didakwa tidak menghormati profesionalisme dan pertimbangan kewangan lima pengarah bebas PBA Holdings Bhd (PBAH) yang membantah kewajipan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membayar RM210 juta setahun kepada Perak selama 40 tahun, meskipun tiada bekalan air terawat diterima.

Lima pengarah bebas itu adalah Datuk Brian Tan Guan Hooi; Lim Eng Huat; Nor Hatina Md Salleh; Lim Seang Lee dan Raja Azmi Raja Nazuddin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, kewajipan pembayaran itu membabitkan jumlah keseluruhan RM8.4 bilion menerusi Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) walaupun PBAPP berkemungkinan tidak menerima setitis air terawat sekalipun.

Menurutnya, tindakan Kon Yeow menyifatkan bantahannya terhadap kewajipan pembayaran berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab secara tidak langsung turut menolak pendirian lima pengarah bebas PBAH yang tidak bersetuju dengan terma tersebut ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBAH pada 12 November lalu.

Beliau berkata, sehingga kini Kon Yeow masih belum menyatakan bahawa beliau dan kelima-lima pengarah bebas berkenaan tersilap dalam mempertikaikan kewajipan pembayaran tahunan itu.

“Kelima-lima pengarah bebas PBAH yang membantah telah menyatakan secara bertulis bahawa PBAPP tetap bertanggungjawab membayar RM210 juta setiap tahun walaupun menerima bekalan air terawat kurang daripada kuantiti kontrak sebanyak 300 juta liter sehari atau dalam senario paling buruk, tidak menerima setitis air terawat pun.

“Peranan mereka yang terdiri daripada golongan profesional kanan dan berpengalaman tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Kon Yeow dalam jawapan balasnya menyatakan tindakan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang terus mempertikaikan Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) antara Pulau Pinang dan Perak tanpa mengemukakan alternatif lebih baik adalah tidak bertanggungjawab.

Kon Yeow berkata, tindakan itu juga berpotensi mengelirukan rakyat berhubung keperluan menjamin sekuriti bekalan air jangka panjang negeri ini.

Menurut Kon Yeow, pelbagai penjelasan mengenai perjanjian itu telah diberikan berulang kali termasuk dalam dua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), taklimat khas oleh PBAPP kepada ADUN serta pekeliling kepada pemegang saham menjelang EGM PBA Holdings Berhad pada 12 November lalu.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan sama ada terdapat perjanjian lain di Malaysia yang mewajibkan sebuah agensi kerajaan negeri membuat pembayaran mandatori RM210 juta setahun walaupun tidak menerima sebarang bekalan sebagai balasan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mendakwa Kon Yeow cuba mengalihkan perhatian daripada implikasi kewangan perjanjian itu dengan menyatakan bahawa beliau membantah usaha mendapatkan bekalan air dari Perak sebagai alternatif kepada Sungai Muda.

Bagaimanapun, Guan Eng menafikan dakwaan itu dengan menegaskan rekod menunjukkan dirinya sendiri memulakan projek mendapatkan bekalan air dari Perak ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Mulai 31 Mac 2032, PBAPP dijangka membayar sekurang-kurangnya RM24.6 bilion kepada Perak sepanjang tempoh 40 tahun, merangkumi caj kapasiti RM8.4 bilion dan caj bekalan RM16.2 bilion.

"Caj kapasiti RM8.4 bilion itu merupakan bayaran tetap sebanyak RM210 juta setahun sepanjang 40 tahun manakala caj bekalan RM16.2 bilion pula bergantung kepada jumlah air terawat yang dibekalkan berdasarkan kuantiti minimum 300 juta liter sehari seperti ditetapkan dalam perjanjian," jelasnya.

Beliau juga mendakwa Kon Yeow mengelirukan orang ramai apabila menyatakan caj bekalan tidak perlu dibayar sekiranya tiada air dibekalkan sedangkan kewajipan membayar caj kapasiti tetap terpakai tanpa mengira jumlah bekalan yang diterima.

"Sekiranya tiada bekalan air terawat disalurkan ke Pulau Pinang selama 10 tahun, misalnya disebabkan Perak perlu mengutamakan keperluan rakyatnya sendiri atau berdepan kemarau, PBAPP masih perlu membayar RM2.1 bilion kepada negeri itu.

“Tiada sesiapa yang waras boleh menerima pembayaran mandatori RM210 juta setiap tahun walaupun tidak menerima setitis air terawat pun sebagai sesuatu yang adil,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan penjelasan Kon Yeow bahawa perjanjian NPWSS boleh ditamatkan sekiranya tiada bekalan air terawat diberikan, sekali gus membolehkan PBAPP menghentikan pembayaran RM210 juta setahun sehingga 2072.

Menurutnya, penjelasan itu tidak mengambil kira kewajipan menjelaskan baki caj kapasiti daripada keseluruhan RM8.4 bilion yang masih belum dibayar sekiranya perjanjian ditamatkan.

"Jumlah berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan Nilai Kini Bersih (NPV) bagi caj kapasiti sepanjang baki tempoh pembekalan dengan menggunakan kadar diskaun empat peratus.

“Kon Yeow perlu berterus terang dan mengakui bahawa Nilai Kini Bersih ini dengan mudah boleh melebihi RM1 bilion, tanpa mengambil kira sebarang pembayaran mandatori RM210 juta setahun yang telah dibuat sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng menolak dakwaan Kon Yeow bahawa butiran NPWSS telah diterangkan dan dibahaskan sepenuhnya dalam dua persidangan DUN Pulau Pinang yang berlangsung baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau mendakwa kerajaan negeri enggan mendedahkan keseluruhan perjanjian berkenaan dengan memberikan alasan terdapat klausa Perjanjian Kerahsiaan (NDA).

"Klausa itu turut digunakan sebagai alasan untuk menolak cadangannya supaya keseluruhan perjanjian NPWSS dibentangkan bagi membolehkan ia dibahaskan dan mendapat kelulusan DUN Pulau Pinang, memandangkan nilai kontraknya sekurang-kurangnya RM24.6 bilion.

"Bagaimana kepentingan rakyat dapat dilindungi sekiranya kerajaan negeri memeterai perjanjian yang mewajibkan pembayaran RM210 juta setiap tahun walaupun tiada bekalan air terawat diterima," ujarnya lagi.

Justeru, Guan Eng menggesa Kon Yeow supaya mendedahkan perkara sebenar berhubung NPWSS dan tidak menyembunyikan kedudukan kewangan PBAPP serta Pulau Pinang yang didakwanya boleh merugikan negeri.

Beliau menegaskan, bantahan lima pengarah bebas PBAH bukan terhadap usaha mendapatkan sumber bekalan air alternatif dari Perak, yang menurutnya disokong sepenuhnya rakyat Pulau Pinang, sebaliknya tertumpu kepada terma kewangan perjanjian yang didakwa membebankan dan merugikan rakyat negeri itu.

Sebelum ini, Kon Yeow dilaporkan berkata, EGM PBA Holdings Bhd baru-baru ini meluluskan cadangan pembelian bekalan air terawat secara pukal dari Perak di bawah NPWSS yang dijadual bermula pada 31 Mac 2032.

Kon Yeow, berkata cadangan itu mendapat sokongan 97.93 peratus undi oleh pemegang saham sekali gus memenuhi satu daripada dua syarat terdahulu dalam perjanjian pembelian air pukal antara PBAPP dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd.

Beliau yang juga Pengerusi PBAHB berkata, selepas bekalan air diterima di sempadan kedua-dua negeri, PBAPP bertanggungjawab mengagihkannya kepada pengguna di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, pelaksanaan perjanjian itu masih tertakluk kepada satu lagi syarat terdahulu iaitu pihak Perak perlu memperoleh kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terhadap struktur tarif yang dipersetujui, termasuk caj kapasiti dan caj bekalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!