Akmal Saleh, Dira antara 10 ADUN angkat sumpah Exco Melaka

Barisan 10 Exco Melaka bergambar bersama Tu Ali dan Ab Rauf pada Khamis.
Barisan 10 Exco Melaka bergambar bersama Tu Ali dan Ab Rauf pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mendahului 10 ADUN yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka pada Khamis.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri.

Selain Muhamad Akmal, sembilan lagi ADUN yang dilantik menganggotai barisan Exco negeri ialah Datuk Rais Yasin (Sungai Udang); Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas); Datuk Fairul Nizam Roslan (Asahan); Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; (Ayer Molek), Datuk Lim Ban Hong (Klebang) dan S Nadarajah (Gadek).

Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim) dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (Bukit Katil).

Muhammad Ridzuan menjadi satu-satunya wakil Perikatan Nasional (PN) dalam barisan Exco negeri itu.

Kesemua mereka mengangkat sumpah bagi membentuk barisan pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal ke-16 susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu.

Pada PRN berkenaan, gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki empat kerusi iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana dimenangi DAP.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua pada Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!