"Saya tak pernah berikan persetujuan surat peletakan jawatan dihantar kepada Tuanku Muhriz'- Ismail Lasim

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, perkara itu hanya diketahuinya menerusi media sosial menerusi kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir pada 16 November lalu.
"Saya tak pernah setuju surat ini dihantar dan saya pun tak hantar sendiri surat ini kepada Tuanku.
"Saya juga tak pernah bersetuju ia dihantar dalam keadaan begini, dan saya hanya tahu melalui media sosial (berkenaan surat itu dihantar)," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, Jumaat.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, Tuanku Muhriz juga menyampaikan titah yang baginda tidak menerima cara tersebut.
Beliau turut mengakui yang surat peletakan jawatan terbabit sememangnya ada dalam simpanan pimpinan parti, namun tidak dinyatakan sebabnya.
"Surat itu sememangnya ada dalam simpanan parti dan saya tak tahu siapa yang serahkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan hasil pertemuan dengan Tuanku Muhriz di Istana Hinggap pada Jumaat akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.
Ismail turut menyatakan harapan supaya kenyataan beliau dapat meleraikan krisis adat dan perlembagaan yang berlaku di Negeri Sembilan.
"Krisis ini dari segi adat, kita pun tahu kita tidak mencampuri. Adat biarlah selesai cara adat dan pentadbiran kerajaan negeri ini lebih penting lagi sebab melibatkan hak rakyat dan sebagainya.
"Pentadbiran kerajaan negeri yang banyak terganggu sekali sebab ketiadaan Exco yang telah dipecat akibat daripada kenyataan mereka pada 16 September," katanya.
Selain itu beliau berkata, pelantikan Exco baharu akan dibuat dalam waktu terdekat selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
"Saya tak boleh kata putus, terpulang kepada Tuanku. Tapi ini salah satu kaedah yang mesti kita buat supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat bergerak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

