Sindiket dadah eksploitasi penerbangan ketenteraan terbongkar, lima pegawai TUDM antara 11 ditahan

KUALA LUMPUR - Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan Selasa lalu, membabitkan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan.
Penahanan kesemua suspek dilaksanakan hasil kerjasama risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dilakukan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah yang membawa kepada penahanan lima pegawai TUDM dan enam orang awam.
Menurutnya, operasi tersebut membawa rampasan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kg.
"Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
"JSJN kini sedang giat mengesan seorang lagi warga Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, risikan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM bagi menyeludup dadah dari semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Tambahnya, modus operandi ini memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara.
Katanya, lima pegawai TUDM yang ditahan kini direman selama tujuh hari bermula Rabu, manakala individu awam yang ditahan direman antara dua hingga lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif methamphetamine, manakala seorang daripada tangkapan awam mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah," ujarnya.
Hussein berkata, rampasan dadah ini dianggarkan berpotensi menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
"Selain tangkapan dan rampasan, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan penyitaan dua buah kenderaan jenis Honda CR-V dan Toyota Vios bernilai keseluruhan RM126,062," ujarnya.
Justeru, JSJN terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan berteraskan risikan, analisis rangkaian sindiket dan kerjasama strategik antara agensi bagi mengenal pasti dan melumpuhkan keseluruhan rantaian pengedaran dadah, khususnya dalang utama (mastermind) yang menjadi penggerak kegiatan jenayah terancang.
"Perkembangan terkini menunjukkan sindiket semakin berani mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan serta memperalatkan individu yang mempunyai akses dan kedudukan tertentu bagi melindungi kegiatan jenayah mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
"JSJN memandang serius sebarang penyalahgunaan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah kerana tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti institusi dan keselamatan negara," ujarnya.
Dalam pada itu, JSJN merakamkan penghargaan kepada pihak TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas kerjasama profesional dan komitmen tinggi yang diberikan sehingga membawa kepada kejayaan operasi tersebut.
Tegasnya, fokus utama penguatkuasaan bukan sekadar menangkap pengedar atau merampas bekalan dadah, tetapi menumpaskan dalang utama, memutuskan rangkaian pengedaran serta melumpuhkan sumber kewangan sindiket sehingga ke akar umbi.
"Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili.
"Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
