Abang Abdul Azeez lepas bebas tuduhan subahat terima rasuah

Abdul Latif Abdul Rahim berjaya mendapatkan pembebasan penuh daripada mahkamah atas tuduhan bersubahat dengan bekas Pengerusi Tabung Haji itu, Datuk Seri Abdul Azeez pada Rabu.
Abdul Latif Abdul Rahim berjaya mendapatkan pembebasan penuh daripada mahkamah atas tuduhan bersubahat dengan bekas Pengerusi Tabung Haji itu, Datuk Seri Abdul Azeez pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Abang kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas dua pertuduhan bersubahat untuk menerima rasuah berkaitan projek lebuh raya dan naik taraf jalan empat tahun lalu.

Ia selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan semakan oleh Abdul Latif yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas tuduhan berkenaan.

Ketika memutuskan perkara itu, Hakim Collin berkata, semakan tersebut didapati mempunyai merit dan pasukan pendakwaan gagal memberi alasan kukuh mengapa mahkamah perlu mengekalkan keputusan DNAA oleh mahkamah rendah sebelum ini.

Merujuk kepada Seksyen 254(3) Kanun Tatacara beliau berkata, seksyen itu merujuk kepada kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam melepas dan membebaskan seseorang individu daripada pertuduhan.

Selain itu Hakim Collin berkata, alasan pasukan pendakwaan supaya kes terhadap Abdul Latif di DNAA, sedangkan ahli perniagaan itu akan memberi keterangan terhadap adiknya yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji dalam prosiding akan datang.

“Ia tidak boleh dianggap alasan munasabah kerana akan membuka kemungkinan dia diugut untuk memberi keterangan yang baik sahaja, kepada pihak pendakwaan.

"Tiada sebarang petunjuk oleh pendakwaan bila perkara ini (didakwa semula) akan berlaku dan ini boleh menyebabkan pemohon sentiasa tertanya-tanya," katanya.

Justeru beliau berkata, sebarang keterangan oleh Abdul Latif boleh dipertikai dan dianggap sebagai tercemar.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab Razak manakala Abdul Latif diwakili peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Abdul Latif, 63, dituduh bersubahat dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mendapatkan rasuah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai habuan membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya melalui tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Projek Lebuhraya Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Lekir di Perak) bernilai RM644,480,000.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pada 8 Februari 2021, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan itu.

Pada September 2021, Abdul Latif memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 6 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan selepas mendengar rayuan Abdul Azeez berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan yang dihadapinya.

Tarikh untuk keputusan rayuan itu masih belum ditetapkan.