Abang Azeez Rahim dilepas tanpa dibebas tuduhan bersubahat rasuah

Abdul Latif (kanan) dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas dua tuduhan bersubahat dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya pada tahun 2017 dan 2018.
Abdul Latif (kanan) dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas dua tuduhan bersubahat dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya pada tahun 2017 dan 2018.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Abang kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan bersubahat dengan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu berhubung kes rasuah beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya pada tahun 2017 dan 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Adam Mohamed berkata, Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk DNAA, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 63, dan menjadikannya sebagai saksi pendakwaan.

Menurutnya, pihak pembelaan membuat permohonan untuk menggugurkan pertuduhan dan bagi tujuan itu, mereka menyerahkan dua representasi pada tiga bulan lalu.

"Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan permohonan itu dan mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian selepas prosiding mahkamah terbuka yang sepatutnya berlangsung pada Isnin.

Sementara itu, peguam, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Latif membantah permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan.

“Abdul Latif sepatutnya dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan tersebut, bukannya DNAA. Jika pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan, tertuduh patut diberi DNA kerana ia tidak adil kerana beranggapan dia akan dituduh semula," katanya.

Dalam pada itu, di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Adam berkata, mahkamah membenarkan perbicaraan bagi kes kedua-dua beradik itu dilapangkan tiga hari sehingga Rabu ini.

“Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu permohonan untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram didengar di Mahkamah Tinggi pada 23 Februari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Azeez dilaporkan tidak hadir di mahkamah pada Isnin dan peguam, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan sijil sakit bertarikh 5 hingga 11 Februari 2021.

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pada 16 Januari 2019, Abdul Latif mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.