99 pelajar Maktab Mahmud Tobiar positif Covid-19

Pelajar asrama Maktab Mahmud Tobiar, Pendang melakukan ujian saringan Covid-19 pada Selasa.
Pelajar asrama Maktab Mahmud Tobiar, Pendang melakukan ujian saringan Covid-19 pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud, Tobiar, Pendang, dekat sini, disahkan positif Covid-19 melibatkan Kluster Dah Penyarom.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes positif itu mula dikesan selepas terdapat beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai berkata, difahamkan pelajar terbabit bergejala ketika mengambil peperiksaan lalu melakukan ujian saringan Covid-19 dan disahkan positif.

"Susulan itu ujian saringan dilakukan kepada semua pelajar asrama berkenaan dan pelajar yang positif sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra dengan menaiki bas pada Selasa.

“Bagaimanapun, setakat ini majoriti pelajar disahkan positif Covid-19 adalah pelajar perempuan manakala hanya beberapa orang merupakan pelajar lelaki," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, kes positif membabitkan pelajar asrama dijangka bertambah selepas keputusan ujian saringan diketahui pada Rabu.

Dr Mohd Hayati (duduk, dua kiri) ketika meninjau keadaan di Maktab Mahmud Tobiar, Pendang pada Selasa.
Dr Mohd Hayati (duduk, dua kiri) ketika meninjau keadaan di Maktab Mahmud Tobiar, Pendang pada Selasa.

‘Ketika ini, pelajar yang didapati negatif dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan pelajar yang belum dapat keputusan mereka dipakaikan gelang merah jambu dan dikuarantin di asrama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Mohd Hayati, kluster itu dinamakan Dah Penyarom kerana lokasi Maktab Mahmud terletak di Kampung Penyarom.

“Sebagai langkah awal, bangunan asrama dan sekolah ini sudah disanitasi dan dibersihkan,” katanya.

Menurutnya, beliau telah melakukan tinjauan bersama Pegawai Kesihatan Daerah di maktab tersebut untuk melihat keperluan dan langkah yang perlu dilakukan selepas ini.

Pada Selasa, Kedah mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 iaitu sebanyak 403 kes berbanding hanya 268 kes pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati berkata, penduduk Kedah dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan virus Covid-19 sama ada dalam kalangan komuniti dan sekolah.