Mesyuarat PSC ditangguhkan selepas Azam bantah

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan selepas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengemukakan bantahan.

Azam membantah cadangan agenda yang ditetapkan mesyuarat itu yang yang mahu beliau hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai skandal pemilikan pegangan saham.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, Pengerusi PSC yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman telah memaklumkan kepada semua lapan ahli mengenai bantahan Azam.

“Setakat ini, mesyuarat PSC telah ditangguhkan,” kata William seperti dilapor Malaysiakini.

William turut memaklumkan bahawa beliau telah meminta agar Abdul Latiff mengumumkan terma rujukan untuk siasatan tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kinabalu, Chan Foong Hin turut mengesahkan penangguhan berkenaan.

“Betul, sah. Kami dimaklumkan sekitar tengah hari ini,” katanya.

Portal berita itu melaporkan, Latiff dalam notisnya yang dihantar sebelum mesyuarat yang dijadualkan berlangsung Rabu ini menyenaraikan alasan bantahan dibuat oleh Azam.

Artikel Berkaitan:

“KP (Azam) telah memaklumkan bahawa jika mesyuarat itu diteruskan (dengan agenda untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu pemilikan sahamnya), ini bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Notis itu turut menyatakan bahawa Azam memetik tiga sebab pertamanya ia mungkin menyentuh perkara yang akan dibincangkan oleh mahkamah dalam saman fitnahnya terhadap pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam yang menulis tentang pemilikan sahamnya dalam dua syarikat senaraian awam.

Kedua, Latiff berkata, Azam membantah sebarang perbincangan yang membabitkan watak atau tindakannya dengan alasan ia perlu dibangkitkan melalui usul berasingan dan bukannya di PSC.

Ketiga katanya, Azam memetik siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

“Dia (Azam) juga berkata (agenda) ini boleh menjadi ultra vires kepada peruntukan di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Justeru, saya telah mengarahkan setiausaha Dewan Rakyat untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada penasihat undang-undang Parlimen mengenai perkara ini,” kata Latiff.

Sebelum ini, ahli Parlimen pembangkang menuntut isu yang melibatkan pemilikan saham Azam dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen kerana jawatankuasa kawal penyelia SPRM gagal menangani perkara itu dengan sewajarnya.